
Fasih bahasa Thai mudahkan komunikasi Cikgu Amran dengan murid
Bagi Amran Salleh, kebolehan bertutur dalam bahasa Thai bukan sekadar kemahiran. Ia merupakan jambatan yang menghubungkan beliau dengan murid dan keluarga mereka, sekali gus memberi nilai tambah kepada seorang pendidik sepertinya.
Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Lamdin berusia 54 tahun itu berkata, beliau fasih bertutur bahasa Thai kerana terdedah dengan komuniti Siam di kampung halamannya di Kampung Bendang Raja, Pendang.
"Kawan-kawan saya pun ramai yang bukan Melayu. Sejak sekolah saya sudah terdedah dengan penggunaan bahasa Thai dan saya mula belajar untuk menguasainya.
"Apabila mengajar di sekolah yang majoriti muridnya berketurunan Siam, ia memberi kelebihan kepada saya dan sangat membantu dalam memastikan komunikasi lebih efektif dengan waris pelajar," katanya.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun di sekolah yang terletak dalam perkampungan masyarakat Siam di sini, berkata, terdapat lebih 100 pelajar etnik Thai dan tidak sampai 10 orang murid Melayu di sekolah berkenaan.
Amran berkata, kebanyakan ahli keluarga murid lebih selesa jika beliau bertutur dalam bahasa ibunda mereka, lebih-lebih lagi apabila membincangkan hal berkaitan prestasi akademik atau masalah disiplin.
"Penggunaan bahasa asing ketika berkomunikasi bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kehebatan sebaliknya sebagai usaha menghormati dan mendekati komuniti secara lebih mesra serta berkesan.
"Kemahiran menguasai bahasa kaum lain juga merupakan satu bentuk sumbangan kecil ke arah semangat Malaysia merdeka yang menekankan kepada konsep memahami, menghormati dan menyantuni perbezaan," katanya.
Selain mahir berbahasa Thai, Amran juga mempunyai asas bahasa Cina kerana pernah mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina selama 18 tahun.
Beliau berkata perkara itu memberi impak positif kepada persepsi murid kerana guru dan ibu bapa boleh bekerjasama dengan baik tanpa kekangan bahasa sekali gus membantu merapatkan jurang komunikasi.
"Mungkin kita melihat perkara ini sebagai biasa sahaja, tapi sebenarnya ia dapat menimbulkan keseronokan dalam bekerja. Kita perlu mencipta atau mencari keseronokan dalam bekerja barulah ia akan memberi kesan yang baik dalam semua aspek," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Amran Salleh berusia 54 tahun merupakan Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Lamdin dan fasih bertutur Bahasa Thai
- Kebolehan berbahasa Thai membantu beliau menjalin komunikasi yang efektif dengan murid dan keluarga mereka yang majoriti berketurunan Siam
- Beliau telah berkhidmat selama 13 tahun di sekolah tersebut yang memiliki lebih dari 100 pelajar etnik Thai
- Amran menganggap kemahiran bertutur bahasa komuniti sebagai usaha menghormati dan mendekati mereka secara mesra
- Selain Bahasa Thai, Amran juga memiliki asas Bahasa Cina, mempengaruhi positif komunikasi dan persepsi murid-murid beliau