
4 guru Malaysia dapat pengiktirafan! 'Mereka ialah Zarlina, Muhammad Nazmi, Amirudin & Nur Ameera Nabila'
Empat guru luar biasa daripada latar belakang berbeza telah menerima pengiktirafan tertinggi dalam dunia pendidikan negara sempena Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-45 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Kuching, Sarawak.
Pengiktirafan berprestij itu bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi merupakan lambang penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan mereka yang menjadi tulang belakang pembangunan insan.
Mereka bukan sahaja berjaya mencipta impak besar di bilik darjah, malah menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pendidik lain untuk terus berinovasi dan berdedikasi dalam mendidik anak bangsa.
Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap fasilitator bengkel bahasa, Zarlina Ahmad telah diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Bitara Bahasa.
Walaupun telah bersara dalam dunia pendidikan, namun beliau kekal aktif sebagai pakar bahasa bertauliah sekali gus menunjukkan komitmen berterusan terhadap pembangunan generasi muda.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli pula menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan.
Merupakan 10 finalis terakhir bagi Hadiah Guru Global 2025, Cikgu Nazmi berkata, penerapan pendekatan pembelajaran kontekstual yang dilakukan olehnya bertujuan menjadikan pengajaran lebih menarik.
Misalnya, mengubah suasana bilik darjah menjadi kolam renang, pantai atau pesawat bagi memberikan pengalaman.

Bagi Anugerah Guru Ikon STEM, ia diberikan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Ampang, Kuala Lumpur, Cikgu Amirudin Razali.
Manakala Anugerah Ikon Guru Muda Berpotensi menjadi milik guru dari SK Padang Pekan, Jitra, Kedah, Cikgu Nur Ameera Nabila Azmi.
Cikgu Nur Ameera sememangnya terkenal dengan penggunaan kaedah pengajaran berasaskan nyanyian, pergerakan dan aktiviti interaktif.
Dengan cara ini, suasana kelasnya menjadi lebih menyeronokkan malah membantu murid lebih mudah memahami serta mengingati isi pelajaran.
Pendekatan mesra murid yang dibawanya bukan sekadar menjadikan beliau guru disayangi ramai, tetapi juga mencipta impak besar dalam meningkatkan minat anak-anak didik terhadap pembelajaran.