Cara bahagiakan diri ketika diuji Covid-19
Peningkatan secara tiba-tiba kes baharu positif Covid-19 mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.
Ketika ini, ramai yang mula berasa takut dan gelisah terhadap pandemik yang boleh mengundang kematian.
Menurut Kaunselor Berdaftar, Afizul Mohammad, masyarakat perlu mencari solusi bagi memastikan diri tidak berada dalam situasi ketakutan yang boleh menjejaskan aktiviti seharian mereka.
“Sebagai manusia, Covid-19 adalah satu ujian yang perlu dilalui dengan sabar dan tabah.
“Kita perlu lakukan sesuatu untuk kelihatan sentiasa bahagia sepanjang ujian ini.
“Justeru, saya kongsikan 11 cara bahagiakan diri sendiri di saat negara sedang berhadapan jangkitan Covid-19,” katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.
Mari ikuti tip eksklusif daripada perunding latihan dan motivasi di Power Action Resources itu.
1) Reda dengan semua yang berlaku kerana yang terjadi adalah atas izin ALLAH. Dengan menerima realiti, kita akan lebih terbuka dan sedar diri.
2) Buat sesuatu aktiviti atau kerja sepanjang hari dengan baik dan pastikan sentiasa sihat supaya badan menjadi lebih proaktif serta cergas.
3) Sapa diri sendiri dengan kata-kata yang memberikan semangat dan motivasi diri.
4) Jangan mengeluh atau selalu mengeluarkan perkataan negatif.
5) Baca buku atau layari laman sosial yang berbentuk positif bagi mengelakkan diri tertekan.
6) Mulakan menulis atau menaip apa sahaja tentang perkara yang baik-baik. Ini adalah terapi positif yang membuatkan kita muhasabah diri tanpa sedar.
7) Zikir, membaca al-Quran dan lakukan kebaikan setiap hari bagi meningkatkan motivasi diri.
8) Banyakkan senyum pada orang sekeliling kemudian perbanyakkan doa dalam diam agar kita sentiasa diredai dan dipermudahkan urusan.
9) Elakkan membandingkan diri dengan orang lain terutama kawan di laman sosial. Jadilah terbaik versi kita sahaja.
10) Banyakkan bercakap dengan ibu bapa (sekiranya masih ada). Hubungi setiap hari dan bahagiakan mereka walaupun dengan hanya bertanya khabar. Cara ini mampu menjadikan kita lebih bahagia apatah lagi kini diuji pandemik Covid-19.
11) Biar diri rasa cukup apa yang sudah ada. Hidup bukan mengejar kebendaan, ia sekadar ujian. Kecukupan adalah yang terpenting.