Cikgu muda, anda memang layak jadi Guru Besar!
“Eh, mudanya Guru Besar di sekolah itu. Macam tak percaya pula. Apa kelayakan yang dia ada? Bimbang pula aku tengok cikgu-cikgu muda terajui sekolah. Nanti daripada sekolah cemerlang terus rankingnya jatuh."
Itu sebahagian komen netizen berkenaan isu cikgu muda yang dilantik sebagai Guru Besar.
Penulis sendiri naik hairan, kenapa ada segelintir warga maya yang seakan-akan anti dengan pelantikan Guru Besar muda di sekolah masing-masing. Salahkah mereka menerajui sesebuah sekolah?
Penulis berkesempatan menemubual Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Segali, Simunjan, Sarawak, Osman Zaini berkenaan isu berkenaan.
Osman yang kini berusia 35 tahun dan antara guru yang termuda menjadi Guru Besar di Malaysia (ketika usianya 31 tahun) turut tidak menyangka menjadi pemimpin di sekolah berkenaan.
“Guru muda harus faham dan ingat bahawa dalam diri kita ini sebenarnya telah ada anugerah yang hebat iaitu nilai kepimpinan.
“Nilai kepimpinan itu maksud saya...kita semua dilahirkan untuk memimpin sama ada pemimpin keluarga, persatuan, sekolah atau organisasi lain.
“Jadi, apabila dilantik sebagai Guru Besar termuda, saya rasakan ia satu tanggungjawab yang sangat besar perlu digalas,” ujarnya.
Cikgu Osman berkata, memegang jawatan Guru Besar muda memang satu tugas berat.
“Saya tanamkan dalam hati yang saya harus beri yang terbaik sebagai Guru Besar di SK Segali.
“Jadi, apa yang perlu saya lakukan adalah wajib menghormati semua staf sekolah, sentiasa senyum, bertolak ansur dalam budaya kerja, memudahkan segala urusan mereka dan menjaga kebajikan semua staf sekolah.
“Elemen ini penting bagi saya kerana ia adalah langkah pertama yang berimpak tinggi untuk saya mewujudkan atmosfera dan budaya kerja yang positif dan terkawal.
“Alhamdulillah, hingga ke hari ini saya masih mengamalkannya dan ia memberi impak yang positif kepada diri dan semua warga sekolah,” ujarnya.
Dalam menjadi seorang pemimpin sekolah, mungkin ada sesetengah individu mengandaikan cikgu muda mempunyai ‘kabel’ tertentu sehingga memudahkan mereka dilantik sebagai Guru Besar.
Padahal, mereka sebenarnya perlu memenuhi beberapa syarat umum sebelum layak menjadi Guru Besar.
Penulis difahamkan syarat-syarat umum itu antaranya terdiri daripada seseorang itu perlu disahkan dalam perkhidmatan (bagi PPP Gred DG29); mencapai tahap prestasi yang ditetapkan iaitu sebanyak 85 peratus berdasarkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT)/Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) tiga tahun terkini; bebas daripada tindakan tatatertib; telah mengisytiharkan harta (tempoh lulus isytihar harta tidak melebihi lima tahun); bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan dan diperakukan oleh Ketua Jabatan/Ketua Perkhidmatan.
Selain itu, calon-calon juga perlu melepasi syarat-syarat khusus yang lain.
Kemudian mereka juga perlu melalui beberapa perkara seperti menghadiri temu duga pemilihan peserta National Profesional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) dan apabila berjaya dalam temu duga, mereka akan dipanggil untuk ujian kecergasan bagi memastikan semua calon dalam keadaan yang sihat.
Setelah berjaya melepasi ujian kecergasan, barulah dipanggil menjalani kursus NPQEL selama tiga bulan.
Selepas itu, di sepanjang kursus, pelbagai pentaksiran dan ujian dijalankan kepada semua calon Pengetua dan Guru Besar untuk memastikan mereka betul-betul bersedia mentadbir dan mengurus sekolah.
Apabila semua calon melepasi kriteria yang ditetapkan, barulah mereka diberi pentauliahan sebagai seorang Pengetua dan Guru Besar.
Lihat, bukan mudah untuk menjadi seorang Guru Besar. Tapisan demi tapisan perlu dilalui sebelum yang layak terpilih. Jadi, janganlah merasakan yang cikgu muda tidak layak untuk menjadi pemimpin. Mereka sebenarnya memang sesuai dan tepat untuk berada di tempat itu.
Kepada guru muda yang mempunyai impian dan keinginan menjadi seorang pentadbir, pengurus, pemudahcara dan pendorong kepada kejayaan sekolah, anda haruslah mempunyai ciri-ciri ini.
1) Anda perlu pasang impian dengan ikhlas.
2) Jalankan segala amanah dan tugasan tanpa rungutan.
3) Sentiasa bersedia ditegur dan belajar daripada kesilapan daripada guru yang lebih senior.
4) Mengamalkan sikap menghormati semua warga sekolah agar dapat mewujudkan atmosfera yang positif di sekolah.
5) Sedia menimba ilmu dan belajar pelbagai ilmu baharu untuk meningkatkan nilai profesional dan intelektual diri sendiri.
Akhir sekali, kepada cikgu muda, jangan takut apabila anda dilantik sebagai Guru Besar.
Pandang ia sebagai perkara positif. Anda dipilih kerana anda memang layak.
Semoga berjaya.