
Cikgu Suffiah kongsi keperibadian GM Li Tian...'Bukan sahaja hebat catur, bahkan turut cemerlang dalam akademik'
"Li Tian bukan sekadar pemain catur yang hebat malahan seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik.
"Tutur katanya sopan, sikapnya rendah hati dan personalitinya mencerminkan budi bahasa tinggi. Sifat terpuji dalam dunia persaingan yang sengit."
Demikian perkongsian Sufie Zull di platform Facebook yang meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian dan pencapaian luar biasa Yeoh Li Tian atas pengiktirafan sebagai Grandmaster (GM) oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).
Sufie Zull atau Cikgu Suffiah berkata, kejayaan bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya, Selangor itu bukan sahaja membanggakan Malaysia, malah membuktikan bahawa dedikasi, ketekunan dan disiplin dalam latihan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.

Beliau turut menegaskan bahawa GM Li Tian antara pemain catur paling konsisten dan berwibawa yang pernah ditemuinya sepanjang menceburi permainan papan strategi itu.
"Saya menyimpan beberapa kenangan manis perjalanan bersama Li Tian dalam sukan catur. 10 tahun bersama-sama Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS), dia telah membantu kejuaraan berganda dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
"Misalnya, membantu kontinjen MSSS meraih pingat emas sekali gus merangkul juara keseluruhan MSSM 2013 di Taiping, Perak.

"Begitu juga ketika menguruskan dia bersama-sama tiga lagi pemain mewakili pasukan Malaysia dalam sukan Asian Primary Schools Sports Olympiad (APPSO) 2009 Bawah 12 tahun, di Jakarta. Manis untuk dikenang," katanya menerusi hantaran di Facebook, yang dikongsi dengan keizinannya.
Mengulas lanjut, Cikgu Suffiah berkata, dia telah mengenali Li Tian dan keluarganya sejak pelajar itu berusia tujuh tahun lagi.
"Saya masih terbayang detik-detik bagaimana ayahnya, NM Mr Yeoh, dengan penuh dedikasi, melatih Li Tian sejak kecil, membentuk bukan sahaja seorang juara, tetapi juga insan yang berdisiplin dan berjiwa besar,” tulisnya lagi.

Di penghujung hantaran, Cikgu Suffiah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Li Tian dan ibu bapanya yang sentiasa prihatin dan memberikan kerjasama berharga sepanjang dia mengendalikan kontinjen dan teknikal Catur MSSS selama 15 tahun.
"Anda (Li Tian) telah meninggalkan inspirasi yang akan dikenang sepanjang zaman," catatnya lagi.