
Cikgu Velerie dari Sabah tersenarai 50 Guru Terbaik Dunia 2026! Doakan kejayaan beliau
Pemenang Malaysia Teacher Prize (MTP) 2024, Dr Velerie Wheelervon Primus, sekali lagi mencatat sejarah apabila terpilih antara 50 Guru Terbaik Dunia 2026 menerusi pertandingan Global Teacher Prize 2026.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Sabah itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan daerah, malah secara tidak langsung mengangkat Malaysia di pentas pendidikan antarabangsa.
Menurut Cikgu (Dr) Velerie, pencalonan itu merupakan satu amanah besar dan bukan sekadar pengiktirafan peribadi.
"Pencalonan ini bukan tentang saya sebagai individu, tetapi tentang anak-anak Pendidikan Khas, ibu bapa yang tidak pernah berhenti berharap dan guru-guru di pedalaman yang berjuang dalam diam setiap hari.
"Dan jika perjalanan kecil saya ini mampu memberi harapan kepada seorang ibu, semangat kepada seorang guru atau masa depan yang lebih baik kepada seorang anak, itu sudah cukup bermakna buat saya," katanya seperti dipetik menerusi portal tempatan.

Dikenali sebagai guru berjiwa besar yang memperjuangkan pendidikan inklusif untuk murid neurodiversiti di kawasan luar bandar, Dr Velerie telah membangunkan dua pendekatan holistik iaitu MIRACLES dan HOPE.
Pendekatan ini menggabungkan terapi multisensori, pembelajaran berasaskan permainan, intervensi berasaskan alam semula jadi serta sokongan akademik individu sekali gus menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan.
Melalui inisiatif tersebut, ruang pembelajaran uzur di sekolahnya berjaya diubah menjadi Pusat Pembelajaran Multisensori yang merangkumi Bilik STEM, Bilik Terapi Bermain, Bilik Snoezelen serta persekitaran pembelajaran lestari yang menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.
Sementara itu, Guru Besar SK Bingkor, Sylvester Balang berkata, pemilihan Dr Velerie bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah merupakan kebanggaan sekolah, daerah dan negara.
"Ini bukti bahawa guru-guru Malaysia mampu bersaing dan memberi impak di peringkat antarabangsa, walaupun bekerja di kawasan pedalaman," ujarnya.

Untuk makluman, Global Teacher Prize anjuran Varkey Foundation merupakan antara anugerah pendidikan paling berprestij di dunia.
Ia mengiktiraf guru-guru luar biasa yang memberi impak tinggi, sekali gus membuka mata dunia terhadap kekuatan pendidikan inklusif dan keupayaan guru Malaysia mencipta perubahan sebenar.
Sebelum ini, guru Bahasa Inggeris SK Long Sebangang, Lawas, Sarawak, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, pernah diumumkan antara 50 Guru Terbaik Dunia 2025, malah tersenarai 10 finalis terakhir bagi pertandingan sama. Hebat.
Pencapaian mereka jelas membuktikan bahawa guru-guru Malaysia bukan sahaja cemerlang di dalam negara, tetapi juga mampu menjadi inspirasi global.
Ringkasan AI
- Dr Velerie Wheelervon Primus, guru dari SK Bingkor, Sabah, menang Malaysia Teacher Prize 2024 dan terpilih dalam 50 Guru Terbaik Dunia 2026
- Dr Velerie memperjuangkan pendidikan inklusif untuk murid neurodiversiti dengan pendekatan holistik MIRACLES dan HOPE
- Inisiatifnya mengubah ruang pembelajaran menjadi Pusat Pembelajaran Multisensori yang komprehensif
- Pemilihan Dr Velerie sebagai bukti guru Malaysia mampu memberi impak di peringkat antarabangsa
- Global Teacher Prize adalah anugerah pendidikan berprestij yang mengiktiraf guru luar biasa secara global
