Doakan Cikgu Murdani. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan pencarian beliau!
Sebelum ini, pelbagai aktiviti sekolah sering dikongsi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran, Pahang di akaun Facebooknya.
Namun hari ini, aktiviti disertai pelajar tidak kelihatan melainkan hanya hantaran tentang guru mereka, Cikgu Murdani Ab Rahman, 53, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor, di sini.
Merupakan Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah berkenaan, Cikgu Murdani dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Pahang kira-kira jam 6 petang Ahad ketika menjalankan aktiviti memancing.
Memetik perkongsian Facebook SMK Tengku Ampuan Afzan, seorang pengguna dikenali DS Shahaniza Shamsuddin melahirkan rasa sedih dengan berita yang melibatkan guru itu.
"Di Mekah, mendengar perkhabaran duka berkenaan Sir Murdani Rahman. Dikenali ramai dan cukup mesra dengan orang kampung. Beliau terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing petang tadi (Ahad).
"Sama-sama kita doakan Sir Dani agar dijumpai. Khabarnya semua agensi dan penduduk kampung sudah pun berkumpul di tebing Chenor untuk memulakan misi pencarian dan menyelamat,” tulisnya.
Masjid At Taqwa Kg Awah juga turut memuat naik hantaran tentang situasi semasa yang berlaku ke atas Cikgu Murdani.
"Selepas solat Isyak malam tadi, jamaah Masjid At Taqwa Kg Awah turut bersolat hajat agar urusan mencari Cikgu Murdani yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang dipermudahkan oleh ALLAH," catat mereka yang kemudiannya dikongsi admin Facebook SMK Tengku Ampuan Afzan di akaun mereka.
Kami di Sinar Bestari mendoakan semoga urusan pencarian Cikgu Murdani atau Sir Murdani berjalan lancar dan beliau ditemui dalam keadaan selamat.