Guru kelahiran Semenanjung teruja mengajar di Sarawak
Tidak semua guru kelahiran Semenanjung menerima dengan hati terbuka apabila memperoleh keputusan penempatan di Sabah atau Sarawak.
Ini kerana, mereka bukan sahaja terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta tetapi perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran serta budaya baharu yang ada di sana.
Namun lain pula ceritanya dengan seorang guru berasal dari Melaka yang berkongsi berita kegembiraannya apabila menerima keputusan penempatan di Sarawak menerusi aplikasi TikTok.
Pemilik akaun bernama Sir Adwa itu, menyampaikan berita gembira dan kelihatan teruja untuk menabur bakti di daerah Lawas, Sarawak.
“Alhamdulillah, saya dapat pilihan pertama iaitu Sarawak. Mengapa saya tidak memilih Melaka sebagai pilihan pertama adalah kerana saya suka merantau.
“Walaupun dapat penempatan di daerah Lawas yang Namanya saya tidak pernah dengar tetapi saya terima dan ‘excited’ untuk pergi sana,” katanya dalam satu hantaran video.
Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pedagogi, telah ditempatkan di sebuah sekolah rendah di Lawas.
Di akhir video itu, Sir Adwa sempat mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan guru yang mendapat keputusan penempatan sekolah, sekali gus mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.
Di kesempatan ini juga, Sinar Bestari ingin mengucapkan tahniah dan syabas buat semua guru-guru Malaysia yang telah mendapat penempatan. Selamat menjalankan tugas!