Cikgu Sirhajwan
Cikgu Sirhajwan

Guru Sabah terima anugerah International Society for Technology in Education 2024

19 Jun 2024 05:09pm

Guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Dr Sirhajwan Idek dinobatkan sebagai salah seorang pemenang 20 to Watch Award oleh International Society for Technology in Education (ISTE).

Anugerah tersebut diberi sempena sumbangan beliau iaitu merintis program pendidikan maya yang membolehkan para pelajar dan guru di negara ini menyertai sesi latihan dan pembelajaran secara langsung menggunakan aplikasi Google Meet atau Zoom.

Program pendidikan maya dikenali Virtual, Remote, Live (VRL) telah diiktiraf sebagai salah satu amalan terbaik pendidikan oleh SEAMEO VOCTECH, sebuah cabang badan pendidikan di Brunei yang menerajui pendidikan vokasional dan teknikal di rantau Asia Tenggara.

Melalui projek itu, Cikgu Sirhajwan berjaya menghubungkan lebih 2,000 pelajar dan guru di Malaysia dengan golongan ilmuwan dari negara-negara lain yang membantu mereka mempelajari pelbagai topik dan kemahiran asas serta mempertengahkan hasil kerja mereka sebaiknya..

Pengarah KV Keningau, Nordin Akup mengucapkan tahniah kepada Cikgu Sirhajwan atas kegigihannya memberi peluang pembelajaran kepada para pelajar dan pendidik dengan meneroka pelbagai kaedah.

“Saya berharap agar guru-guru di kolej ini untuk terus cekal memberi yang terbaik dalam mendidik generasi muda negara,” kata beliau.

Sebagai penerima anugerah, Cikgu Sirhajwan akan menerima plak anugerah, keahlian premium persatuan selama setahun, jemputan ke persidangan, peluang menyumbang terhadap pendidikan berasaskan teknologi melalui penulisan artikel dan sesi perkongsian.

Untuk rekod, ISTE merupakan satu organisasi global berpangkal di Amerika Syarikat yang fokus dalam memangkin penggunaan teknologi dalam kalangan pendidik melalui pendekatan latihan yang komprehensif.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp