No Image Caption

Hantar anak ke sekolah tahfiz seawal tujuh tahun pemuda luah ketidakpuasan hati

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
22 Aug 2023 04:07pm
A
A
A



Hari ini kesedaran mengenai pendidikan agama kepada anak-anak semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya ramai antara mereka yang berlumba-lumba untuk menghantar anak ke sekolah aliran agama agar mendapat pengetahuan mencukupi tentangnya.

Untuk itu, sekolah tahfiz berasrama hari ini dibanjiri kanak-kanak berusia seawal tujuh hingga 10 tahun.

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah pada umur tersebut kanak-kanak berkenaan sudah bersedia untuk hidup berdikari dan jauh daripada keluarga?

Baru-baru ini seorang individu bernama Aiman Roslan meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya tentang fenomena berkenaan.

Menerusi ciapannya di laman sosial X, kanak-kanak pada fasa umur tujuh hingga 10 tahun sepatutnya mendapat kasih sayang secukupnya daripada ahli keluarga.

Di sini Sinar Bestari lampirkan sebahagian daripada catatan yang dibuat oleh Aiman.

“Walaupun aku ada latar belakang tahfiz tapi sampai sekarang aku tak faham kenapa ibu bapa sanggup hantar anak umur antara tujuh ke 10 tahun masuk tahfiz berasrama.

Artikel Berkaitan:


“Umur sebegitu patutnya masih membesar dengan kasih sayang mak ayah bukan dengan ustaz-ustazah dan senior.

“Kesian budak itu, terlalu awal untuk diajar berdikari dan hidup sendiri,” katanya.

Jelasnya, disebabkan perkara tersebut, terdapat ramai dalam kalangan mereka dibuli, menghadapi gangguan seksual dan masalah sosial sehingga mengalami trauma.

Hantaran Aiman itu mendapat perhatian daripada 2,100 pengguna di laman X berkenaan.

Seorang pengguna Abe Soo Lover turut melontarkan komen yang dia cukup memahami perkara tersebut kerana pernah melalui kehidupan itu.

“Saya masuk asrama sejak Tahun Empat dan sangat memahaminya sehingga sekarang rasa macam ‘innerchild’ tersakiti,” ujarnya.

No Image Caption



Sementara itu, individu bernama Mirzuki berpandangan betapa ruginya tindakan menghantar anak pada umur semuda itu.

“Sejujurnya betapa ruginya keluarga tidak dapat tengok anak-anak membesar depan mata, budak-budak sudahlah cepat membesar,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengguna X bernama Mohammad Aiman berkata, dia tidak akan sesekali memasukkan anaknya ke sekolah berasrama.

“Kalau aku ada anak, selagi tak habis sekolah rendah dan menengah jangan harap dapat keluar dari rumah.

“Dia masuk diploma atau asasi, baru aku lepas bagi duduk asrama sebab kena ingat 17 tahun sahaja anak-anak hendak melekat dengan kita,” ujarnya.

No Image Caption



Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Intan Farahana Abdul Ghani berpendapat, kanak-kanak pada fasa umur tujuh hingga 10 tahun masih terlalu awal untuk diberi pendedahan kehidupan di asrama.

No Image Caption



Ulas beliau, rata-rata pada usia berkenaan masih belum matang dan baik untuk menyerap sesebuah perkara.

Jelasnya, struktur sosial di sekolah tahfiz yang terdiri daripada latar belakang pelbagai umur yang kadang kala terlampau jauh memungkinkan berlakunya ketidakseimbangan pergaulan.

Kata Intan, apa yang lebih bahaya jika perkara tersebut membawa kepada masalah sosial lain seperti buli dan cabul.

Justeru, beliau mencadangkan, sekiranya terdapat ibu bapa yang hendak memasukkan anak ke sekolah berasrama sama ada tahfiz atau tidak umur yang ideal adalah seawal 13 tahun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok