Seorang bapa (kiri) menghadiahkan jagung kepada Ahmad Farizan (kanan) sebagai tanda terima kasih.
Seorang bapa (kiri) menghadiahkan jagung kepada Ahmad Farizan (kanan) sebagai tanda terima kasih.

‘Hanya jagung ini sebagai hadiah. Terima kasih cikgu kerana didik dan jaga anak pak cik’

15 Aug 2024 11:02am

Guru pendidikan khas yang dikenali Ahmad Farizan Bahaman berkongsi satu catatan indah berkenaan seorang bapa yang menghadiahkan selonggok jagung yang diisi dalam dua plastik berasingan kepadanya.

Difahamkan, bapa itu merupakan salah seorang ayah kepada murid pendidikan khas di kelasnya.

Tulis Ahmad Farizan, hadiah jagung itu cukup istimewa kerana ia diberikan ketika hari terakhir dia berkhidmat di sebuah sekolah.

"Paling terkesan apabila beliau berkata begini kepada saya ‘Cikgu, terima kasih kerana didik dan jaga anak pak cik. Pak cik tiada apa yang nak bagi pada cikgu sebagai tanda terima kasih. Hanya jagung ini sebagai hadiah dan tanda terima kasih dari pak cik untuk cikgu,” beritahu Ahmad Farizan dalam hantaran di Facebooknya.

Dalam catatan sama, Ahmad Farizan turut menitipkan sedikit kata-kata semangat kepada semua cikgu yang bergelar guru pendidikan khas.

"Saya seorang cikgu pendidikan khas. Inilah kebahagian untuk kami. Inilah keseronokan untuk kami. Inilah kecemerlangan yang sebenar bagi kami.

"Bukan A yang kami cari. Cukuplah dan memadailah kalian boleh mengurus diri walaupun hanya sekadar memakai kasut sendiri.

"Siapapun kita, guru apapun kita, matlamat tetap sama iaitu supaya satu hari nanti para pelajar menjadi orang yang berguna hendaknya," tulisnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp