
'Hari ini, air matanya gugur lihat anak didik cemerlang dalam subjek Kimia...'
Sekeping gambar seorang guru wanita yang tular baru-baru ini memukau perhatian ramai.
Ia bukan sekadar gambar biasa sebaliknya ia adalah potret sebuah pengorbanan, ketulusan dan kemenangan jiwa seorang pendidik.
Mengajar subjek Kimia, guru wanita tersebut diuji dengan pelbagai dugaan sebelum ini. Namun dia tetap memastikan silibus Kimia disampaikan dengan sempurna hanya kerana satu matlamat, mahu anak-anak didik berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hari ini, semua kepayahan itu terbayar. Air matanya mengalir bukan kerana lelah tetapi kerana kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Sinar Bestari membawakan coretan penuh emosi ini, yang dipetik menerusi TikTok @munaimidrus, sebagai satu penghormatan kepada insan-insan bergelar guru.
*****
Seorang guru Kimia, satu-satunya di sekolah di Manjung.
Tahun lalu, dia berjuang tanpa henti, menjaga suami yang sakit akibat kemalangan, membesarkan empat anak dan tetap hadir untuk anak muridnya di sekolah.
Dia berulang alik dari rumah ke sekolah, dari hospital ke makmal, demi memastikan silibus Kimia selesai, demi memastikan mereka bersedia untuk SPM.
Hari ini, air matanya gugur...
Bukan kerana penat,
Tapi kerana gembira.
Anak-anak didiknya cemerlang dalam subjek Kimia.
Usahanya dibayar dengan senyuman kejayaan.
Inilah erti sebenar seorang pendidik.
Saya pasti ada ramai lagi guru seperti beliau.