Cikgu Norafizah (kanan) menerima Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan (Kategori Guru) daripada Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua dari kanan) pada Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM. Turut serta, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Mohd Nuri Hussin (tiga dari kanan).
Cikgu Norafizah (kanan) menerima Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan (Kategori Guru) daripada Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua dari kanan) pada Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM. Turut serta, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Mohd Nuri Hussin (tiga dari kanan).

'Ini anugerah paling istimewa' - Luahan hati Cikgu Norafizah, penerima Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Jul 2023 05:31pm
A
A
A

Biarpun sudah menggenggam pelbagai anugerah dan kejayaan dalam bidang pendidikan, namun anugerah yang diraih pada Bengkel Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) begitu istimewa buat Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Jerantut, Pahang, Cikgu Norafizah Abdul Razak.

Ia kerana anugerah tersebut iaitu Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan (Kategori Guru) cukup berbeza dengan kejayaan yang diperoleh sebelum ini.

Katanya, keistimewaan yang dimaksudkan itu adalah anugerah berkenaan berkait rapat dengan dasar kerajaan yang sentiasa konsisten dengan usaha mereka memerangi rasuah.

Malah, yang paling mengujakan apabila anugerah berkenaan diberikan oleh komuniti (bukan dari Kementerian Pendidikan) yang mengiktiraf usaha dilakukan olehnya selaku seorang pendidik.

Cikgu Norafizah berkata demikian ketika ditemui Sinar Bestari selepas Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam Selangor pada Isnin.

Cikgu Norafizah
Cikgu Norafizah

Sambung beliau, anugerah tersebut adalah satu tanggungjawab sosial buatnya kepada komuniti dalam memerangi rasuah.

"Pendidik mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan kesedaran dalam memerangi rasuah melalui program pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"PSS seharusnya dijadikan platform untuk melahirkan program - program berimpak tinggi terutama dalam pembangunan nilai dan sahsiah," ujarnya.

Sementara itu, selain Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan (Kategori Guru), guru ini telah meraih beberapa anugerah lain sepanjang 30 tahun bergelar cikgu.

Antaranya, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 1999, 2006 dan 2015; Anugerah PSS Cemerlang Kebangsaan 2004, 2006 dan 2009; Anugerah Penyelaras PSS Terbaik 2010; Anugerah Khas Guru Daerah 2006 dan 2015 serta Anugerah Guru Perpustakaan dan Media (GPM) Terbilang Negeri Pahang 2016.

Seterusnya, Cikgu Norafizah turut dianugerahkan Ikon GPM Kebangsaan 2019; Ikon GPM Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2020; Anugerah Guru Dalam Komuniti dari Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang Tahun 2022 dan banyak lagi.

Melihatkan kepada pencapaian dan pengiktirafan yang diberikan kepada guru kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, suka Sinar Bestari rangkumkan bahawa beliau sememangnya guru yang hebat dalam bidang pendidikan.

“Segala yang saya peroleh ini adalah rezeki dari ALLAH SWT.

“Insya-ALLAH, saya akan gunakan segala pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan kepakaran yang ada demi kejayaan kita bersama,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok