Bahasa badan adalah salah satu elemen komunikasi bukan lisan yang sangat penting kerana ia menceritakan pelbagai perasaan. Gambar kecil: Muhammad Zarif.
Bahasa badan adalah salah satu elemen komunikasi bukan lisan yang sangat penting kerana ia menceritakan pelbagai perasaan. Gambar kecil: Muhammad Zarif.

Keperluan guru memahami bahasa badan pelajar di sekolah!

03 May 2024 07:30am

Sebagai seorang guru atau skop lebih besarnya dipanggil pendidik, keberkesanan dalam sesi pembelajaran tidak hanya bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal dan bacaan buku semata-mata.

Ia melibatkan pelbagai keupayaan seperti kemahiran komunikasi yang baik, kemahiran memahami emosi pelajar, bahkan kadangkala kemahiran untuk menjadi seorang motivator yang baik kepada pelajar.

Dalam kepelbagaian kemahiran ini, salah satu kemahiran yang sering kali dilupakan oleh seorang warga pendidik adalah kemahiran mereka untuk memahami/membaca bahasa badan (body language) pelajar.

Bahasa badan adalah salah satu elemen komunikasi bukan lisan yang sangat penting kerana ia menceritakan perasaan, pemikiran, tingkah laku dan keadaan emosi seseorang manusia tanpa perlu mereka berkata-kata.

No Image Caption

Namun sayangnya, tidak ramai warga pendidik yang memiliki kemahiran dalam membaca dan merungkai bahasa badan pelajar mereka atas faktor bebanan kerja dan sebagainya.

Antara beberapa contoh situasi di mana pemahaman terhadap bahasa badan pelajar adalah sangat penting:

1) Pelajar yang berada di dalam keadaan stres/bebanan emosi

Artikel Berkaitan:

Seorang guru yang peka terhadap bahasa badan pelajar akan dapat mengenal pasti tanda-tanda stres atau bebanan emosi pada pelajar mereka seperti kedutan pada dahi, kening dirapatkan dan pelbagai lagi perkara. Sekiranya seseorang pendidik pernah mempelajari ilmu ekspresi muka mikro di dalam skop ilmu membaca bahasa badan, pasti mereka akan sentiasa sedar dengan ekspresi ini.

Dalam situasi ini, jika bahasa badan tersebut terlihat pada pelajar, guru boleh mengambil pendekatan yang lebih efektif dengan memberikan sokongan tambahan kepada pelajar untuk membantu mereka lebih selesa dan bertanyakan soalan dengan nada lembut untuk memahami punca stres atau bebanan emosi tersebut.

No Image Caption

2) Perubahan tingkah laku pelajar

Seorang pelajar yang biasanya aktif dan bersemangat tetapi secara tiba-tiba menjadi kurang berminat atau enggan berinteraksi mungkin menunjukkan tanda-tanda masalah emosi atau perasaan tertentu.

Guru atau pendidik yang peka terhadap bahasa badan pelajar mungkin dapat mengesan isyarat ini melalui bahasa badan dan mengambil tindakan sesuai untuk membantu pelajar tersebut.

Setiap perubahan kecil yang berlaku itu boleh datang dari pelbagai masalah besar dihadapi oleh pelajar. Maka guru yang bijak, perlulah pandai dalam mencungkil sebarang masalah yang boleh mengganggu mereka dalam pembelajaran sama ada faktor tekanan di rumah, berkawan mahupun sosial.

No Image Caption

3) Hubungan guru - pelajar yang utuh

Dengan memahami bahasa badan pelajar, seorang guru dapat membina hubungan yang lebih dekat dan mesra dengan pelajarnya. Contohnya, dengan memberikan pujian dan respon positif terhadap Bahasa badan pelajar yang menunjukkan kesungguhan bagi menyiapkan tugasan, akan memberikan mesej kepada pelajar bahawa mereka dihargai oleh guru mereka.

Ini akan membantu membina kepercayaan dan hubungan yang lebih erat antara guru dan pelajar. Umum diketahui, anak muda akan menceritakan segala masalah mereka kepada orang yang dipercayai oleh mereka. Jadi seorang guru perlulah mengambil Langkah proaktif dengan hadir menjadi sokongan emosi buat mereka. Empati yang ditunjukkan akan menunjukkan keikhlasan guru dalam membantu mereka.

4) Meningkatkan efektiviti pembelajaran

Guru atau pendidik yang dapat membaca bahasa badan pelajar akan dapat meningkatkan efektiviti pembelajaran mereka. Misalnya, jika seorang pelajar kelihatan bosan atau tidak fokus, guru boleh mengambil beberapa langkah kreatif dengan melakukan sedikit regangan badan di dalam kelas atau menyampaikan bahan pembelajaran dengan cara yang lebih menarik dan dinamik.

Menggunakan kepelbagaian dalam gaya penyampaian pembelajaran akan dapat membantu mengekalkan minat dan fokus pelajar, namun ia boleh dilihat 'syok sendiri' jika guru tidak mempunyai kemahiran membaca bahasa badan pelajar dan hanya melakukan pembelajaran tersebut tanpa melihat respon dari pelajar.

No Image Caption

“Jika ia seronok dan menarik untuk guru, belum tentu ia seronok dan menarik untuk pelajar. Maka ubahlah mengikut kesesuaian.”

Secara kesimpulannya, keberkesanan pembelajaran oleh seorang guru tidak hanya bergantung kepada pengetahuan mereka dalam bidang akademik atau pengalaman mereka, tetapi ia juga bergantung kepada kemahiran mereka dalam membaca bahasa badan pelajar.

Dengan memahami isyarat bahasa badan yang ditunjukkan oleh pelajar, seorang pendidik boleh meningkatkan keberkesanan mengajar mereka, mengesan masalah yang dihadapi oleh pelajar dan membina hubungan yang lebih baik dengan mereka.

No Image Caption

Sekiranya masalah atau kes tersebut adalah terlalu besar untuk dibimbing oleh seorang guru, disinilah pula perlunya kes tersebut dirujuk kepada kaunselor untuk tindakan selanjutnya.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi guru untuk mengambil masa mempelajari dan memahami ilmu membaca bahasa badan pelajar demi meningkatkan keberkesanan sesi pembelajaran tersebut.

Maklumat penulis

Pensyarah Fakulti Pengajian Antarabangsa Kolej Universiti Inovatif & Jurulatih Bahasa Badan di Body Language Academy (Malaysia), Muhammad Zarif Zulkafli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp