Cikgu Istiqomah
Cikgu Istiqomah

Kronologi kehilangan Cikgu Istiqomah akhirnya terungkai dengan penemuan mayat Allahyarham

12 Aug 2024 10:48pm

Penemuan mayat tidak sempurna di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Mayat yang disahkan milik seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Pasir Gudang, Johor dikenali Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dijumpai dibuang di dalam tong sampah dalam longkang kampung berkenaan.

Susulan kejadian itu, terdapat segelintir warga maya tidak mengetahui secara mendalam mengapa Cikgu Istiqomah diperlakukan sebegitu.

Sinar Bestari senaraikan di sini, kronologi yang dikongsikan ahli keluarga menerusi laman sosial dan portal berita tempatan:

1) Cikgu Istiqomah yang mempunyai ketinggian 164 sentimeter dan seberat 57 kilogram hilang sejak 23 Disember 2023, kira-kira jam 8 pagi.

2) Namun, kereta ibu kepada tiga cahaya mata itu telah dijumpai sekitar area pasar raya Lotus, Kota Masai, Johor pada 27 Disember sekitar jam 2 petang bersama kunci. Bagaimanapun Allahyarham sendiri tidak kelihatan.

3) Birasnya, Yusni Ismail memaklumkan pihak keluarga telah membuat laporan polis.

4) Beliau juga memohon kerjasama pengunjung pasaraya itu atau orang ramai yang berada di sekitar Eco Tropics pada 26 Disember sekitar 10.30 pagi hingga 11 pagi menghubunginya bagi membantu mendapatkan rakaman video dashcam.

5) Portal berita tempatan melaporkan, suami Cikgu Istiqomah, Mohd Yusof Mokhtar, 35, setia menunggu kepulangan isterinya yang tercinta.

No Image Caption

6) Mohd Yusof yang bertugas sebagai juruteknik berikhtiar pelbagai cara dalam pencarian isterinya termasuk mendapatkan khidmat pakar perubatan Islam.

7) Melalui seorang ustaz yang ditemui, beliau dimaklumkan isterinya memang mahu pulang, tetapi mempunyai halangan iaitu seperti ada 'seseorang' yang memegangnya.

8) Mengetahui isterinya masih berada di dalam negara, Mohd Yusof berharap individu berkenaan lembut hati melepaskan dan memulangkan wanita itu kembali kepada keluarga.

9) Katanya, anak sulung mereka berusia sembilan tahun sudah memahami kehilangan ibu mereka dan kerap termenung memberitahu rindu akan wanita itu.

10) Difahamkan dua lagi anaknya yang berusia empat dan enam tahun masih belum mengerti dan menganggap ibu mereka yang bekerja sebagai seorang guru, keluar ke sekolah.

11) Kata Mohd Yusof, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya yang menjadi lokasi kereta Cikgu Istiqomah ditemui, kelihatan seorang lelaki keluar daripada kenderaan itu namun kelibat isterinya tidak kelihatan.

12) Mohd Yusof mengakui tidak mengenali lelaki itu yang seolah menutup wajahnya sehingga sukar dilihat.

13) Katanya lagi, pada hari kejadian, beliau keluar bekerja pada jam 6.30 pagi dan keadaan di rumah ketika itu seperti biasa.

14) Difahamkan ketika itu cuti sekolah dan Cikgu Istiqomah tidak bekerja.

No Image Caption

15) Bagaimanapun, ketika pulang ke rumah pada pukul 6 petang, Cikgu Istiqomah didapati tiada di rumah sedangkan wanita itu tidak memaklumkan akan ke mana-mana. Apabila bertanya kepada anaknya, mereka berkata guru wanita itu ke sekolah.

16) Mohd Yusof segera mencari Cikgu Istiqomah di sekolah namun pengawal keselamatan sekolah maklumkan isterinya tidak ke sana.

17) Beliau juga menghantar mesej kepada Cikgu Istiqomah menerusi aplikasi WhatsApp namun mesej tersebut itu tidak sampai.

18) Mohd Yusof berkata, tiga hari pertama selepas hilang, 'Cikgu Istiqomah' ada menghantar mesej tetapi ayat-ayatnya tidak seperti ditulis beliau. Malah lelaki itu juga memaklumkan selepas mesej dihantar telefon bimbit milik isteirnya seperti ditutup.

19) Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan tentang laporan kehilangan wanita itu yang diterima pada 27 Disember 2023 pada jam 12.36 tengah malam.

20) Pada 6 Januari, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbatkan ke dalam plastik sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember lalu namun identiti masih belum diketahui.

21) Pada 12 Ogos, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah menyatakan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember lalu, disahkan milik Cikgu Istiqomah.

22) Kenalan lelaki ketika sama-sama belajar di institusi pengajian tinggi Allahyarham disyaki mendalangi pembunuhan ditangkap.

23) Lelaki terbabit juga bekas guru sebelum berhenti menjadi pedagang mata wang asing (Forex), dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex.

24) Reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi hingga 18 Ogos bagi melengkapkan siasatan manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes

25) Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Sumber: SinarPlus

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp