Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 kepada Datuk Seri Panglima Dr Nuinda Alias pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023, di MITC, Ayer Keroh. Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri).

Kredit foto: BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 kepada Datuk Seri Panglima Dr Nuinda Alias pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023, di MITC, Ayer Keroh. Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri). Kredit foto: BERNAMA

Nuinda Tokoh Guru Kebangsaan 2023

AZLEENDA SAHALUDIN
17 May 2023 11:14am
A
A
A

"Jadilah guru insani yang berjiwa mulia, berhati ikhlas, sanggup berjuang mendidik anak-anak bangsa demi pembangunan negara kita dan generasi akan datang."

Itulah nasihat daripada Tokoh Guru Kebangsaan 2023 Datuk Dr Nuinda Alias, 61.

Bekas Pengetua Cemerlang Gred C itu berkata, anugerah yang diterima itu diharap dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakan guru lain yang masih dalam perkhidmatan dan perjuangan sebagai pendidik.

Anak kelahiran Sabah itu turut berkata, anugerah berkenaan adalah pengiktirafan tertinggi yang diterimanya sepanjang bergelar guru dan pemimpin sekolah selepas meninggalkan dunia pendidikan pada 6 Februari 2022.

"Saya tidak terfikir dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan kerana titik permulaan saya sebagai seorang guru adalah ingin membantu pelajar mencapai kejayaan.

"Keikhlasan saya mendidik anak bangsa, saya serahkan kembali kepada ALLAH SWT dan akhirnya hari ini saya mendapat anugerah dan pengiktirafan ini juga antaranya disebabkan doa guru serta anak murid saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Selasa.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Nuinda menerima wang tunai dan loket emas bernilai keseluruhan RM50,000, dua tiket penerbangan ke luar negara, plak iringan dan sijil penghargaan.

Ibu kepada empat anak itu telah menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatannya antaranya termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 1999, 2008 dan 2015, Anugerah Pemimpin Kokurikulum Negeri Sabah (2017), Anugerah Pengetua Contoh Negeri Sabah (2020) dan Anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah (2022).

Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti kokurikulum di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa anak muridnya menyertai Kejohanan Skuasy Terbuka Qatar 2019 dan menjadi ketua kontinjen bagi Kejohanan Piala Dunia Tarian dalam tempoh 2011 hingga 2016.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023, Datuk Mazlan Mohamad, 69, berkata, beliau memilih bidang pendidikan bukan untuk mendapat sebarang anugerah tetapi untuk menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa.

"Kita sebagai seorang guru, mendidik adalah tanggungjawab kita dan memastikan supaya semua anak murid, semua rakyat Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya.

“Itulah yang menjadi pegangan hidup saya," katanya yang telah berkhidmat selama 34 tahun sebagai guru sebelum bersara pada 2016.

Anak kelahiran Raub, Pahang itu berkata, beliau sangat terharu dan bangga dengan pengiktirafan yang diterima dan akan menjadi pendorong untuknya memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Berpegang teguh pada slogan 'education for all, no child left behind’, (pendidikan untuk semua, tiada kanak-kanak ketinggalan) beliau mengasaskan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kuala Lumpur bagi memastikan anak gelandangan mendapat pendidikan sewajarnya.

Mazlan turut menerima wang tunai dan loket emas bernilai keseluruhan RM50,000, dua tiket penerbangan ke luar negara, plak iringan dan sijil penghargaan.

- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok