Pelajar SMK Kota Kemuning ke Tokyo wakili negara sempena International Physics Olympiad 2023
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Phuah Jun Xi terpilih mewakili negara ke International Physics Olympiad 2023 yang berlangsung hari ini hingga 17 Julai 2023 di Tokyo, Jepun.
Menurut guru fizik sekolah tersebut, Cikgu Norsilawati Sidek, pihaknya berbangga dengan pencapaian pelajar itu tambahan pula ia merupakan julung kali penyertaan sekolah dalam acara tersebut.
Jelasnya, pelajar Tingkatan Lima itu akan bersama empat calon lain bagi ‘mempertaruhkan’ diri dalam pertandingan mencabar minda peringkat antarabangsa tersebut.
Apa yang lebih menarik, Jun Xi merupakan satu-satunya wakil tunggal Kementerian Pendidikan (KPM) yang bakal bersaing bersama peserta dari 80 buah negara seluruh dunia.
“Pertandingan ini memerlukan para peserta untuk menduduki ujian iaitu secara teori dan amali.
“Kedua-dua ujian tersebut akan berlangsung selama lima jam dan ia akan dijalankan secara berasingan.
“Kami berasa sangat berbangga dengan penyertaan Jun Xi kerana kami tahu bukan mudah untuk dia menempatkan diri dalam pasukan Malaysia dengan persaingan yang sengit,” katanya kepada Sinar Bestari pada Isnin.
International Physics Olympiad telah dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1967 bagi memberi peluang kepada mana-mana pelajar yang berbakat dalam bidang tersebut untuk mempamerkan kemahiran.
Pada tahun lalu acara tersebut diadakan di Switzerland yang menampilkan lima pemenang teratas dari Republik Rakyat China.
Mengulas lanjut mengenai penyertaan berkenaan, Cikgu Norsilawati menambah, perkembangan sains dalam arus globalisasi kini tidak dapat dipisahkan.
Ujar beliau, ia ditambah dengan era revolusi industri 4.0 (IR4.0) kini yang lebih banyak persaingan.
Justeru, pihaknya komited dengan sebarang penyertaan acara melibatkan sains dan robotik.
“Kita sebelum ini pernah menyertai pertandingan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Decathlon yang berlangsung di Johor pada 2022 dan mendapat tempat kelima.
“Di SMK Kota Kemuning, kami meletakkan keutamaan yang tinggi dalam pendidikan STEM sehingga mempunyai enam buah kelas alirannya bagi Tingkatan 4 dan 5," tambahnya.