Elemen aksi dimasukkan sewaktu Gendang 24 Musim dipalu.
Elemen aksi dimasukkan sewaktu Gendang 24 Musim dipalu.

Irama Gendang 24 Musim di SMK Kota Kemuning

AZLEENDA SAHALUDIN
14 Feb 2024 09:52am
A
A
A

Satu kelainan bagi sekolah harian biasa seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor untuk mempunyai pasukan Gendang 24 Musim yang merupakan salah satu kumpulan muzik tradisional bagi kaum Cina di negara ini.

Menariknya, kumpulan gendang sekolah ini tidak terhad ahli kepada kaum Cina semata-mata, malah terdapat beberapa pelajar Melayu dan India yang turut sama terlibat mengangkat kejayaan sekolah menerusi pelbagai pertandingan dan persembahan sama ada dalam dan luar sekolah.

Guru pengiringnya, Lim Wei Wei berkata, kumpulan Gendang 24 Musim sekolah ini telah diwujudkan sekitar tahun 2016 dan pada waktu itu, hanya ada ahli seramai enam pelajar.

“Kini, pasukan gendang sekolah telah berjaya merekrut ahli seramai lebih kurang 24 pelajar yang terdiri bermula Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima daripada pelbagai kaum.

“Saya sendiri selaku guru pengiring sangat menggalakkan pelajar kaum lain seperti Melayu atau India untuk terlibat dalam kumpulan ini kerana mereka bukan sahaja dapat menambah markah kokurikulum, malah ia boleh dijadikan sebagai platform untuk bergaul dengan rakan-rakan berlainan latar belakang,” katanya yang mesra dipanggil Cikgu Lim kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Kumpulan Gendang 24 Musim SMK Kota Kemuning dianggotai pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Gambar kecil: Cikgu Lim.
Kumpulan Gendang 24 Musim SMK Kota Kemuning dianggotai pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Gambar kecil: Cikgu Lim.

Jelas Cikgu Lim, selagi pelajar itu sanggup dan aktif untuk hadir berlatih, mereka sebenarnya sedang memantapkan lagi pukulan serta pergerakan dalam persembahan gendang yang dimainkan.

Bercerita lanjut tentang pasukan kumpulan sekolah, Cikgu Lim memberitahu, mereka pernah dinobatkan sebagai juara pada tahun 2017 dalam satu pertandingan, walaupun baru pertama kali mencuba nasib.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman itu membuka mata beliau sebagai guru pengiring untuk terus aktif dalam usaha mengangkat nama baik kumpulan Gendang 24 Musim sekolah.

“Bermula dari situ, kami banyak sertai pelbagai pertandingan dan persembahan sama ada dalam dan luar sekolah.

“Malah kami juga menerima banyak jemputan persembahan untuk orang-orang ternama atau majlis penting yang bagi saya satu peluang buat pelajar ini menimba pengalaman sebelum mereka menamatkan zaman persekolahan,” ujarnya lagi.

Kata Cikgu Lim, walaupun hanya sebagai guru pengiring, kejayaan kumpulan gendang sekolah adalah sesuatu yang membanggakan kerana ia hasil usaha para pelajar yang bersusah payah berlatih, apatah lagi ada kalanya mereka perlu berlatih di luar sekolah.

Beliau berkata, jurulatih kumpulan gendang di SMK Kota Kemuning itu merupakan orang luar yang mendapat kepercayaan pihak sekolah.

“Kami sangat bertuah kepada jurulatih ini sungguh bertanggungjawab membimbing anak murid bermula dari kosong hingga berjaya melakukan sesebuah persembahan.

Cikgu Lim sempat memohon bagi mendoakan perjalanan kumpulan Gendang 24 Musim SMK Kota Kemuning yang ditawarkan untuk membuat persembahan pembukaan pada Anugerah Juara Lagu ke-38 pada Mac nanti.

Ruzita
Ruzita



Dalam pada itu, menurut Penolong Kanan sekolah, Ruzita Kamil, Kumpulan Gendang 24 Musim ini merupakan salah satu kebanggaan warga SMK Kota Kemuning.

Penglibatan aktif mereka bukan sekadar memenuhi keperluan jadual kokurikulum, tetapi merupakan satu perjuangan dalam mengekalkan keunikan budaya negara kita.

"Peluang murid-murid menyertai kumpulan ini juga membari pengalaman berharga kerana mereka dapat pergi ke beberapa tempat menarik dalam pelbagai program di luar sekolah.

"Mereka sangat bertuah kerana aktiviti yang dirancang sentiasa mendapat sokongan penuh daripada Tuan Pengetua, Mohd Fauzi bin Zailan, Pengetua Cemerlang SMK Kota Kemuning," katanya.

Kejayaan kumpulan Gendang 24 Musim SMK Kota Kemuning:

2016

- Melakukan persembahan terbuka pertama di Gamuda Walk Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor

2017

- Johan Pertandingan Festival Muzik Gendang 24 Musim, Klang

- Diberi peluang membuat persembahan pada Festival Ambang Merdeka 2017 yang merupakan anjuran Jabatan Perdana Menteri

2018

- Memenangi Anugerah Emas Antarabangsa dan Anugerah Perak Antarabangsa pada pertandingan International Youth, Cultural and Arts Festival di Bangi Avenue Convention Centre

2019

- Memenangi Anugerah Emas Antarabangsa pada International Youth, Cultural and Arts Festival di Melaka

2020

- Membuat persembahan di Management and Science University (MSU) sempena sambutan Tahun Baharu Cina

2022

- Terlibat dalam penggambaran video Kemerdekaan Astro (Gemilang Bersama)

- Sekali lagi memenangi Anugerah Emas pada pertandingan Kids Got Talent Malaysia

2023

- Membuat persembahan pada REDHA 50th Anniversary bersama Perdana Menteri

- Persembahan majlis penutup Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok