
Pengetua SM Sains Dungun buat kejutan hingga guru hilang kata-kata!
"Seronoknya dapat pengetua macam ini. Nak pindah sekolah pun rasa serba salah."
"Tahniah tuan pengetua. Terinspirasi saya. Rezeki cikgu-cikgu dapat pentadbir sebaik ini. Teruskan kerja dengan ikhlas."
"So sweet. Terima kasih cikgu."
"Memiliki pengetua yang hebat sesungguhnya satu anugerah dan rezeki. Semoga kami juga akan dikurniakan nikmat yang sama. Aamiinn."
Begitulah pandangan ikhlas warga maya di platform TikTok susulan tularnya sebuah video memaparkan seorang pengetua membuka pintu bilik mesyuarat dan memberi kejutan luar biasa kepada semua guru-gurunya.
Kejutan yang dilakukan Pengetua Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, Terengganu, Cikgu Che Mohd Yusri Che Hashim yang dikongsi pengguna @shahirahlaoshi diTikTok, dapat dilihat menerusi sebuah kotak hadiah berwarna ungu yang diletakkan di atas meja mesyuarat guru masing-masing.
Selain kotak cantik, turut kelihatan sebotol mineral dan tanda nama berserta Jata Persekutuan yang telah ditulis nama cikgu berkenaan.
Kelihatan guru-guru senyum girang dan gembira dengan pemberian yang tidak disangka-sangka oleh mereka.
Difahamkan, pengetua memberi hadiah yang mengandungi buku tugasan, kad, makanan, marker pen dalam mesyuarat khas sempena sesi persekolahan 2025/2026.
Sinar Bestari tertarik dengan kata-kata motivasi yang ditulis Cikgu Che Mohd Yusri khusus buat guru-guru yang disayangi.
"Selamat menjalankan amanah.
Setiap tanggungjawab yang hadir sepanjang kehidupan kita telah ditetapkan mengikut jalur kemampuan untuk kita laksanakan.
Ikhlaskan hati serta bersyukur atas kurniaan kudrat yang dianugerahkan sehingga mampu melunaskan titik AMANAH yang diberikan.
Selamat kembali ke sesi akademik 2025/2026. Semoga menghadirkan lebih kegemilangan dan kesejahteraan."