Perjuangan kekal keamanan negara
Bukan sekadar sarung uniform biru
Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memikul tanggungjawab yang berat, malah tugas mereka juga tidak pernah bernoktah.
Walaupun menghampiri usia 67 tahun negara mencapai kemerdekaan, namun pasukan keselamatan sang saka biru ini terus menjalankan tugas demi mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam.
Menurut Asisten Superintendan (ASP) Norhairol Fazidah Chek Ani, nikmat kemerdekaan yang dirasai pada hari ini perlu dipertahankan walaupun kes-kes jenayah terus meningkat.
Beliau yang menggalas tanggungjawab ASP (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata, rakyat Malaysia kini boleh hidup aman dan harmoni dek usaha para pemimpin serta pejuang tanah air terdahulu yang berjuang bermati-matian demi menuntut sebuah kemerdekaan.
Namun dengan peredaran masa kini mencetuskan situasi di mana kes jenayah berada pada tahap membimbangkan.
“Contoh kes rogol atau seksual yang melibatkan golongan remaja terutama pelajar sekolah sememangnya memberi kesan kepada PDRM dan orang ramai kerana mereka inilah pelapis masa depan negara.
“Diakui, memang Malaysia sudah merdeka tetapi dari segi jenayah, kita belum bebas sepenuhnya.
“Itu yang menjadi tanggungjawab kami di PDRM untuk sentiasa berusaha mengekang jenayah dan anasir buruk sekali gus terus menjaga keamanan negara,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai tugas sebenar sebagai anggota dan pegawai PDRM, anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, polis bukan sahaja menyiasat sesuatu kes tetapi turut bertindak memberi advokasi kepada generasi muda.
Ujarnya, pendekatan yang diambil bersama golongan itu bermula dari sekolah bertujuan memberi gambaran sebenar kerjaya seorang polis sekali gus mendedahkan mereka akan kesan sekiranya terlibat dengan kes-kes jenayah.
“Jika berlaku sesuatu kes, polis memang perlu jalankan siasatan, malah hubungan baik dengan sekolah juga diterapkan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar kerana warga PDRM inilah antara yang berada di barisan hadapan untuk setiap insiden atau kes.
“Disebabkan itu, saya selalu tekankan kepada generasi muda yang berminat menceburi kerjaya ini bahawa pendidikan antara perkara penting yang perlu mereka titik beratkan,” katan beliau.
Jelasnya, sesetengah pelajar sekolah yang menganggap untuk menyarung seragam PDRM hanya perlu cergas fizikal sebenarnya tidak tepat kerana itu bukan jaminan dalam kerjaya penuh berisiko tersebut.
Beliau menegaskan, sekurang-kurangnya pelajar yang berminat perlu mempunyai pendidikan tinggi kerana kini jawatan inspektor polis juga memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda.
“Belajarlah dan dapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan. Ia kerana untuk mendapat tempat dalam kerjaya polis ini bukan hanya perlu bersaing kecergasan fizikal tetapi setiap calon wajib berkemampuan dari sudut ilmu pengetahuan kerana orang bijak pandai ramai.
“Tidak hanya itu, nilai disiplin dan patriotisme kepada negara perlu diterapkan agar semangat mempertahankan tanah air serta berjuang membanteras jenayah sentiasa mekar dalam diri,•”• katanya lagi.
Masih dijajah dadah
Dari sudut jenayah narkotik, Pegawai Turus Perundangan/Naziran, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Deputi Superintenden (DSP), Haney Azita Mohd Yahaya berkata, tidak dinafikan negara belum merdeka sepenuhnya daripada genggaman dadah.
Malah peningkatan teknologi masa kini menjadi antara penyumbang masalah penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan lebih-lebih lagi membabitkan golongan remaja yang masih bersekolah.
Kongsi Haney Azita lagi, sebagai pemantau siasatan, peningkatan tangkapan kes melibatkan salah guna dadah oleh pelajar sekolah amat membimbangkan banyak pihak.
“Zaman dahulu ada kes begini tetapi tidak banyak. Cuma sekarang dengan ada dadah baharu dikenali sebagai New Psychoactive Substance (NPS) lebih membimbangkan kerana kesannya sama dengan dadah yang lain.
“Untuk makluman semua, jika kita hantar sampel NPS untuk dianalisis, keputusannya negatif. Ia sememangnya menggusarkan banyak pihak,” katanya.
Ujarnya, kes melibatkan penyalahgunaan dadah ini sudah lama bertapak dalam negara disebabkan oleh beberapa faktor walaupun Malaysia sudah bebas daripada ancaman kuasa asing.
“Bayangkan dari tahun 1992, kita belum bebas dan masih dijajah dengan dadah.
“Ditambah pula dengan peredaran zaman dan teknologi menjadikan dadah juga semakin dikenali dalam pelbagai bentuk. Dahulu dadah sintetik sekarang NPS,” jelasnya lagi.
Justeru, beliau memberi peringatan kepada pelajar sekolah yang berminat untuk menjadi seorang anggota polis supaya menanam azam bermula dari usia muda bagi membanteras kes-kes jenayah yang semakin berleluasa dalam negara.
Katanya, pekerjaan polis ini bukan sekadar menyarung seragam tetapi ia satu pekerjaan mulia yang membantu mengekalkan keselamatan negara tidak hanya ancaman musuh tetapi turut mengekang ribuan jenayah daripada terus berlaku.