Remaja 'hilang'. Apa yang perlu ibu bapa lakukan?
Setiap tahun, kita disajikan dengan pelbagai berita kehilangan anak-anak remaja yang kebanyakan masih di bangku sekolah.
Paling menyedihkan, pencarian mereka berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila ada antaranya meninggal dunia akibat dibunuh atau mati disebabkan unsur-unsur jenayah lain.
Dalam konteks ini, individu yang paling terkesan dengan kehilangan dan pemergian anak-anak adalah golongan ibu bapa.
Bagi mak ayah, kehilangan anak ibarat kehilangan sebahagian jiwa. Tiada kata mampu menggambarkan kesedihan yang dilalui.
Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Selangor, Cikgu Abdul Muiez Ruslee mengakui bahawa tiada ibu bapa yang bersedia untuk kehilangan anak mereka.
Ujarnya, kematian anak adalah satu ujian yang paling berat untuk diterima dan sering kali menguji keimanan serta kekuatan hati.
Untuk mengelak kejadian buruk daripada berlaku, Cikgu Abdul Muiez berkongsi lima tip penting sebagai panduan ibu bapa sekiranya anak didapati ‘hilang’.
1) Perketatkan masa keluar anak-anak. Jam 7 petang perlu berada di rumah. Nampak macam mengongkong tapi sebenarnya untuk keselamatan dan melatih disiplin mereka. Jika tidak dijaga, perkara itu akan menjadi tabiat. Sampai masa, bila jam satu atau dua pagi dan anak masih tidak balik, mak ayah jangan marah. Sebab masa anak-anak kecil lagi, kita sudah biasakan mereka keluar waktu malam.
Ingat. Semua perkara bermula dengan kali pertama.
Kali pertama benarkan anak membawa motosikal, kita beri kebebasan sampai lewat malam.
Kali pertama anak minta mahu keluar dengan kawan-kawan, kita benarkan tanpa had masa.
Kali pertama anak ingin buat sesuatu, kita benarkan tanpa nasihat.
Setiap yang kali pertama, akan ada kali kedua. Lepas itu menjadi kerap. Akhirnya menjadi tabiat. Apabila sudah menjadi tabiat, susahlah nak lentur.
2) Biasakan anak untuk melapor setiap pergerakan. Contoh mahu ke kedai. Beritahu kedai di mana. Lepas ke kedai, nak singgah ke mana? Kalau keluar, dengan siapa? Laporkan. Bukan juga untuk mengongkong tapi memudahkan proses pencarian jika berlaku kecemasan.
3) Kenali kawan anak-anak. Jika boleh, simpan nombor telefon kawan rapat mereka. Setidak-tidaknya kita tahu anak berkawan dan keluar dengan siapa serta tahu kawan masing-masing tinggal di mana.
4) Kenali juga keluarga rakan anak. Konsepnya ialah kita saling menjaga anak-anak.
5) Jika anak tamat sekolah, selalulah bertanya, kalau-kalau mereka sudah ada 'pasangan'. Minta nombor telefon pasangan.
Itu bukanlah tanda merestui, tetapi untuk kita tahu, dengan siapa anak-anak 'berkawan'. Andai apa-apa berlaku, kita tahu, siapa yang patut dicari dahulu.
Jika sedar berlaku kehilangan, apa pula yang perlu ibu bapa buat?
1) Cuba hubungi rakan rapat anak-anak. Hubungi juga ibu bapa mereka, jika boleh. Kalau ikut kes sebelum ini, anak tinggal di rumah kawan berhari-hari. Kalau kita ada nombor telefon ibu bapa kawan anak, bolehlah bertanya.
2) Tanya jiran-jiran yang ada kamera litar tertutup (CCTV). Kalau-kalaulah CCTV itu dapat membantu melihat pergerakan anak-anak.
3) Jika sah anak 'hilang', cepat-cepatlah buat laporan polis.
4) Buat hebahan di media sosial juga. Gunakan kuasa viral supaya anak dapat ditemui.
Akhir sekali, Cikgu Abdul Muiez memberitahu, semua tip di atas adalah perkongsian tanpa fakta tetapi insya-ALLAH berasas dan boleh dipertimbangkan.