(Gambar hiasan)
(Gambar hiasan)

Rezeki buat guru pondok di Pahang, RM1,000 setiap seorang

03 Jan 2025 05:48pm

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan memberikan imbuhan khas RM1,000 kepada setiap guru pondok di negeri itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM650,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pemberian imbuhan berkenaan membabitkan sebanyak 650 guru daripada 134 pondok yang berdaftar dengan MUIP.

"Bentuk imbuhan khas atau sumbangan sagu hati ini merupakan kali pertama diberikan MUIP kepada setiap guru pondok, iaitu sebanyak RM1,000 seorang. Agihannya bermula semalam dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang penghujung Januari ini.

"Sumbangan itu sebagai tanda penghargaan MUIP kepada guru pondok yang berdaftar dalam usaha mereka meningkatkan kerohanian anak-anak Pahang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, pemberian itu juga sebagai menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya agensi dan pihak yang berkenaan memberi perhatian jitu serta membantu pondok yang berdaftar sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Asmadi turut mengingatkan kepada pondok pengajian terbabit supaya memastikan pembelajaran menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan MUIP. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp