'Saya hendak murid-murid tahu guru mereka juga boleh melangkah ke pentas dunia' - Finalis Hadiah Guru Global 2025, Cikgu Nazmi
Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, 32, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak bukanlah satu nama baru dalam dunia pendidikan.
Beliau dikenali sebagai seorang guru yang berdedikasi, kreatif dan bersemangat tinggi dalam mendidik murid-murid khususnya di kawasan pedalaman.
Usaha gigihnya dalam menghasilkan pelbagai latihan simulasi bilik darjah telah memberikan inspirasi kepada ramai sekali gus membuktikan bahawa semangat juang dalam pendidikan mampu mengubah masa depan generasi muda.
Cikgu Nazmi yang sering muncul sebagai pemenang dalam pertandingan berbentuk pendidikan, sekali lagi mencipta sejarah dalam rekod peribadinya apabila diumumkan antara 50 finalis terbaik dari seluruh dunia untuk Hadiah Guru Global 2025.
Kejayaan itu secara tidak langsung mengangkat guru Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan guru dari negara luar.
Secara eksklusif kepada Sinar Bestari, Cikgu Nazmi berkata, tersenarai sebagai finalis Hadiah Guru Global 2025 sememangnya sangat mengejutkan.
Ujarnya, perasaan terkejut itu lahir kerana pertandingan Hadiah Guru Global 2025 bukan ‘biasa-biasa’.
"Tak sangka akan terpilih antara 50 finalis Hadiah Guru Global 2025 kerana ini bukan kali pertama saya mencuba pertandingan berkenaan.
"Warga sekolah dan rakan-rakan dari seluruh negara merakamkan ucapan tahniah dan ada antaranya memeluk saya sambil mendoakan kejayaan ke peringkat seterusnya.
"Justeru, saya berharap dapat membawa nama Malaysia dan guru pedalaman ke persada dunia sekali gus membuatkan murid-murid di SK Long Sebangang bangga dengan cikgu mereka,” kata suami kepada Anne Margarette Kho yang juga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Limauan, Kimanis, Papar, Sabah.
Sebagai guru pedalaman, Cikgu Nazmi mengakui banyak kekangan yang harus dihadapi terutamanya berkaitan infrastruktur sekolah.
"Umum mengetahui, infrastruktur sekolah luar bandar tidak mencukupi dan serba kekurangan.
"Kerana itu, saya mengambil alternatif dengan memberi pendedahan kepada murid-murid dengan pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.
"Saya juga memberi ruang kepada murid untuk mengekspresikan diri mereka melalui pembikinan filem pendek seperti filem 'Teether' yang berjaya diterima ke Festival Filem Horror Unleashed di Portugal,” ujarnya.
Beliau berkata, murid-murid di pedalaman teruja dan seronok dengan apa yang dilakukan cuma mereka berhadapan kekangan kemudahan berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Saya berharap infrastruktur sekolah luar bandar terus dipertingkatkan terutamanya akses kepada teknologi di samping peluang pendidikan sama rata diberikan kepada semua murid tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka,” akhiri pemenang Malaysia Teacher Prize 2023 ini.