
Selepas 10 tahun menabur bakti, Cikgu Ismail kini berpindah ke GIATMARA Paya Besar! 'Terima kasih atas segala jasa & pengorbanan'
Lebih sedekad Cikgu Ismail Samat menjadi antara tulang belakang dalam melahirkan pelatih mahir dalam bidang Kimpalan di GIATMARA Muadzam Shah, Pahang.
Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sekadar mengajar di bilik latihan, malah membimbing pelatih dengan penuh kesabaran sehingga ramai yang berjaya membina keyakinan diri dan masa depan dalam bidang tersebut.
Dedikasi beliau juga terserlah apabila sanggup berjauhan daripada keluarga demi memastikan ilmu dan pengalaman terus disampaikan kepada generasi pelapis di Muadzam Shah.
Kini, selepas lebih 10 tahun menabur bakti, tenaga pengajar kanan Kursus Kimpalan & Fabrikasi Logam itu memulakan langkah baharu apabila berpindah ke GIATMARA Paya Besar, Kuantan, Pahang bagi meneruskan khidmatnya.

Menurut hantaran rasmi GIATMARA Muadzam Shah di Facebook, perpindahan tersebut bukan sekadar pertukaran lokasi, sebaliknya satu fasa baharu dalam perjalanan seorang pendidik kemahiran.
"Perpindahan ini bukan sekadar perubahan tempat, tetapi perjalanan baharu selepas lebih sedekad mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada para pelatih serta komuniti setempat.
"Semoga langkah baharu ini memberi ruang lebih luas untuk Cikgu Ismail terus mencipta kejayaan di GIATMARA Paya Besar,” maklum hantaran itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Bestari di ruangan komen mendapati ramai warganet mengambil kesempatan menyampaikan doa dan ucapan terima kasih atas jasa beliau.
Antaranya, "Terima kasih Cikgu Ismail Samat. Semoga sihat selalu dan ALLAH SWT permudahkan segala urusan di tempat kerja baru."

"Semoga Cikgu Mail terus cemerlang di tempat baru. Setelah sekian lama di Muadzam Shah. Tahniah cikgu. Terima kasih atas segala tunjuk ajar kepada semua anak SEMMUJA dalam kursus kimpalan."
"Didoakan Cikgu Mail sihat selalu. Amin."
Ringkasan AI
- Lebih sedekad Cikgu Ismail Samat mendidik pelatih mahir dalam bidang Kimpalan di GIATMARA Muadzam Shah, Pahang
- Beliau membimbing pelatih dengan penuh kesabaran sehingga banyak yang berjaya dalam bidang tersebut
- Cikgu Ismail berkorban berjauhan dari keluarga demi menyampaikan ilmu kepada generasi pelapis
- Berpindah ke GIATMARA Paya Besar, Kuantan untuk meneruskan perkhidmatan sebagai tenaga pengajar kanan
- Warganet menyampaikan doa dan ucapan terima kasih atas jasa dan dedikasi Cikgu Ismail
