"Puan, bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch kad saya tidak 'diturunkan darjat' menandakan saya pernah lewat?
"Puan, bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch kad saya tidak 'diturunkan darjat' menandakan saya pernah lewat?

Sukarnya mencari Guru Besar sebegini! Beruntung sekolah yang miliki pemimpin berhati mulia

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Jun 2023 05:43pm
A
A
A

Guru Besar (GB) yang memahami dan sentiasa bertolak ansur dengan cikgu-cikgu di sekolahnya, sudah tentu akan disukai dan disayangi ramai.

Walaupun ada yang melakukan kesalahan, tetapi GB sebegini tidak akan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa, sebaliknya menyiasat dan memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Kisah seorang guru yang dimuat naik oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi Facebooknya, benar-benar menggambarkan bahawa GB yang bersikap sedemikian, dipuji ramai termasuklah warganet yang terdiri kalangan pendidik.

“Saya percaya GB baru cikgu tu semestinya disayangi ramai. Semoga ALLAH Taala rahmati hidupnya yang berlaku adil dan bertimbang rasa. Bertuah punya GB macam tu. Tahniah."

“Alhamdulillah...telah diutuskan satu GB yang berjiwa pemimpin."

“Tahniah untuk pemimpin seperti ini...bertimbang rasa dan tolak ansur dengan orang di sekelilingnya..."

“Terharu dengan sikap GB ini.Tidak terus menghukum membabi buta. Semoga semua GB di Malaysia bersikap demikian rupa. Alhamdulillah."

“Pernah berkhidmat bawah pengetua yang budiman dan prihatin. Di dewan dia tidak malu sapu sampah, sanggup datang sebelah malam menemani guru-guru menyiapkan pentas untuk majlis pada esok hari, tidak lokek belanja guru-guru yang bertungkus lumus untuk projek sekolah dan setiap projek@ majlis guru-guru semuanya mendapat sijil penghargaan. Bila dia ke luar negara dibelinya cenderamata untuk semua staf dan pekerja. Memang pengetua terbaik dan di hormati oleh guru-guru."

Artikel Berkaitan:

Ikuti artikel lanjut mengenai guru ini menerusi tajuk ‘Kisah punch kad merah.’

*****

Kisah punch kad merah (mesin perakam waktu)

"Awak dah tiga kali lewat bulan ini. Bulan depan saya tukarkan punch kad awak warna lain. Menandakan kehadiran awak dah tiga kali lewat!"

Keras seorang GB memarahi guru ini. Guru ini hanya menunduk dan mengangguk sahaja dengan redha. Ya, dia terlambat tiga kali dan itu termaktub dalam peraturan. Dia akur tanpa bantahan.

Dalam mesyuarat, hal ini dibangkit dan mana-mana guru yang bertukar warna kad disindir-sindir dan diperli. Tidak komitmen dan tidak berdisiplin kata GB tegas ini.

Masa berlalu. Teraju bertukar tangan. Diganti oleh GB lain yang tegas juga dalam bicara dan kata-kata. Namun bila berdepan, bila hadap berdua GB baru ini sangat santun dan berlemah lembut. Nasihat yang baik diberi, bukan ugutan atau sindiran kasar.

Beberapa bulan kemudian, sekali lagi punch kad guru ini berwarna merah. Empat kali dalam sebulan. Dia dah redha jika kad bertukar warna bulan depan.

Bulan seterusnya, kad dia masih warna yang sama. Seolahnya dia tidak lewat melebihi tiga kali. Maka diberanikan diri bertanya pada GB baru.

"Puan, bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch kad saya tidak 'diturunkan darjat' menandakan saya pernah lewat?

GB itu tersenyum. Diarahkan kerani mengambil punch kad cikgu ini. Lantas ditunjuk dan berkata...

"Cikgu. Cikgu lihat punch kad cikgu. Benarlah ada merah empat kali menandakan lewat dari sepatutnya. Lihat merah yang pertama, masanya 7:21 minit.

Hanya lewat satu minit sahaja. Lagi pun masa itu kelas belum bermula. Kelas kan bermula jam 7:30 pagi. Begitu juga tiga lagi kelewatan cikgu. Semuanya tidak lebih dari 7:30. Maka saya maafkan.

Lagi pun pagi-pagi jalan depan sekolah memang jem. Cikgu pula turunkan anak dulu di prasekolah. Saya percaya sebenarnya cikgu dah berada dalam kawasan sekolah sebelum jam 7:15 pagi lagi kan?

Sambil tersenyum GB itu memberi penjelasan. Cikgu ini mengangguk-angguk tanda faham. Terharu dia dapat pentadbir yang memahami, bukan yang jenis mencari salah.

"Puan. Terima kasih banyak atas pertimbangan puan. Benar apa yang puan cakap. Saya berada dalam kawasan sekolah kadangkala lebih awal, namun untuk punch kad itu memakan masa atas pelbagai faktor.

GB itu tersenyum lantas menyambung,

"Adalah kejam bagi saya menghukum guru-guru dibawah saya hanya sekadar warna merah tiga hingga empat kali ini.

Cuba perhati waktu awak pulang dekat punch kad ini. Awak layak pulang seawal pukul 1 petang. Namun hampir setiap hari awak berkorban masa demi sekolah dan anak-anak didik sampai pukul 2 hingga 3 petang.

Lewat satu minit diganti dengan tambahan dua hingga tiga jam setiap hari adalah sesuatu yang mengagumkan saya. Cikgu tidak pernah membangkitkan pengorbanan cikgu berada lebih masa di sekolah.

Apa perlu saya bangkitkan kelewatan satu minit atas faktor teknikal? Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah. Terus beri yang terbaik cikgu ya!

Guru ini merasa sangat dihargai. Dia merasa sangat senang dengan pentadbir yang bertolak ansur dan pandai mengenang budi.

Setiap langkah ke sekolah di hari mendatang dia hayun dengan semangat yang lebih membara. Setiap program sekolah dia cuba jayakan sebaik mungkin.

Benarlah, seorang pemimpin yang baik tidak hanya pandai mencari salah.

Pemimpin yang baik tidak hanya tahu bertegas dan marah-marah.

Pemimpin yang baik tidak membuatkan anak buah mereka bekerja keras dengan ugutan dan paksaan.

Sebaliknya pemimpin yang hebat mampu memenangi hati anak-anak buahnya sehingga mereka seronok bekerja bersama.

Sehingga anak-anak buahnya melakukan segalanya bukan kerana paksaan atau ugutan. Tapi dengan kerelaan dan rasa hormat yang menebal pada pemimpin yang pandai menjaga hati ini.

Kisah ini kisah benar yang aku dengar sendiri dari seorang sahabat guru. Mana yang baik sama-sama kita ikuti.

Begitulah.

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok