Taarana bimbing anak OKU dengan pelbagai kemahiran
Anak-anak yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) masih berpeluang berdikari, berkomunikasi dan menjalani rutin kehidupan normal seperti individu lain.
Cuma, ibu bapa dan penjaga perlu segera bertindak dengan menghantar mereka ke sekolah keperluan khas.
Menurut Pengetua Sekolah Pendidikan Khas Taarana, Dr Sunitha Sivakumaran, apabila anak-anak OKU bersekolah, mereka didedahkan dengan pelbagai kemahiran untuk membantu meneruskan kehidupan.
“Misalnya di Taarana yang terletak di Petaling Jaya, Selangor, kami telah mendedahkan anak-anak OKU dengan pelbagai bentuk kemahiran untuk dipraktikkan di rumah.
“Di samping itu, anak-anak OKU memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih berintegrasi daripada guru-guru pakar dan berpengalaman.
“Seboleh mungkin, kami berusaha menzahirkan potensi setiap pelajar berkeperluan khas melalui kurikulum yang direka untuk memperkasa mereka agar boleh berdikari dan menyumbang kepada masyarakat, sekali gus menjadikan mereka sebagai individu dewasa yang mampu menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Keluarga dan Krismas bersama ibu bapa, guru-guru dan pelajar di Sekolah Taarana.
Pada majlis itu, pelbagai aktiviti dan permainan yang direka khusus kepada hadirin telah disediakan antaranya menyelesaikan cabaran, teka-teki dan aktiviti interaktif.
Mengulas lanjut mengenai kehidupan anak-anak OKU hari ini, Sunitha menitipkan pesanan khas kepada golongan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak istimewa berkenaan.
“Kepada ibu bapa dan penjaga, sentiasalah memegang dan memimpin tangan mereka apabila berada di luar rumah.
“Pastikan anak-anak berada di hadapan supaya mudah dipantau dan dilihat dengan jelas. Elakkan mereka berjalan di belakang atau di sisi kerana akan mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Yayasan Raise Yourself to Help Mankind (RYTHM), Santhi Periasamy berkata, majlis Sambutan Hari Keluarga dan Krismas dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh keluarga besar Taarana.
"Sambutan hari ini mencerminkan nilai-nilai murni yang mendasari komitmen Yayasan RYTHM untuk memupuk transformasi sosial melalui pendidikan.
“Acara ini bukan sahaja mencipta detik gembira kepada pelajar dan ahli keluarga mereka, tetapi turut memperlihatkan usaha dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik dan memenuhi keperluan pelajar.
“Misi penting Yayasan RYTHM adalah meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan keperluan khas di samping memperjuangkan inklusiviti sosial dalam usaha mengurangkan stigma terhadap kanak-kanak berkeperluan khas,” akhirinya.