Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tanggungjawab besar untuk negara

Perkongsian Intan mengenai kerjaya PTD buat adik-adik

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
06 May 2024 09:30am

Sering kali kita dengar jawapan daripada murid mengenai cita-cita mereka ialah menjadi doktor, bomba, cikgu dan sebagainya.

Sedangkan hari ini, pelbagai jawatan dan bermacam bidang yang boleh dijadikan sebagai salah satu cita-cita untuk dicapai setelah tamat pengajian di universiti pilihan.

Salah satunya ialah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang merupakan antara kerjaya di sektor perkhidmatan awam dan paling penting, ia mempunyai beberapa kelebihan buat mereka yang berkhidmat dalam jawatan itu.

Bagi menambah pengetahuan adik-adik tentang kerjaya ini, ikuti perkongsian dan temu bual eksklusif wartawan Sinar Bestari,Azleenda Sahaludin bersama Penolong Pengarah di sebuah kementerian, Intan Noor Suhada Saari, 29, bagi menjelaskan lebih terperinci tentang tugas sebenar seorang PTD.

Intan
Intan

SINAR BESTARI: Boleh kongsikan bagaimana puan boleh menggalas tanggungjawab sebagai PTD?

INTAN: Terima kasih kepada Sinar Bestari di atas usaha mengetengahkan jawatan atau kerjaya PTD ini kepada adik-adik terutama pelajar agar mereka tahu peluang kerjaya sebenarnya banyak cabang.

Saya bermula dengan minat untuk berkecimpung dalam bidang keselamatan dan pertahanan atau menjadi seorang pegawai tentera.

Artikel Berkaitan:

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bertanya kepada pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) apakah jurusan yang sesuai bagi meneruskan kerjaya dalam bidang pertahanan? Mereka mengesyorkan saya mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi.

Namun untuk menjadi seorang pegawai tentera, setiap pelajar perlu menjalani latihan sebagai pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Disebabkan tidak melepasi saringan ATM, maka saya mengambil jurusan itu sebagai pelajar awam, kemudian didedahkan dengan peluang kerjaya dalam pengurusan keselamatan dan pertahanan sebagai PTD.

Alhamdulillah, selepas tiga kali percubaan peperiksaan berperingkat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), barulah saya ditawarkan memikul tanggungjawab sebagai PTD.

Apakah tugas sebenar PTD yang orang lain tidak tahu?

Menjadi PTD ini sering kita dengar, mereka yang berada dalam bidang diplomatik atau terlibat dalam majlis rasmi yang berprofil tinggi, hakikatnya tidak sebegitu.

Ada juga PTD yang tugasnya untuk bekerja di pejabat. Mereka bertanggungjawab mengurus, merancang dan merangka dasar atau polisi.

Melalui tiga perkara ini, ia terbahagi kepada lapan bidang utama iaitu pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi, pengurusan kewangan awam, pengurusan teknologi maklumat, pentadbiran sosial atau infrastruktur, keselamatan dan pertahanan, pentadbiran tanah serta daerah, pengurusan ekonomi dan hubungan antarabangsa dan hal ehwal negeri.

Untuk makluman tambahan, mereka yang terpilih menjadi PTD akan ditempatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mana-mana jabatan atau kementerian dalam negara.

Justeru, boleh saya katakan, skop tugas PTD ini sebenarnya fleksibel yang membolehkan mereka belajar dan merasai pengalaman baharu serta meneroka pelbagai perkara.

Intan (kanan) sewaktu menerima Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Intan 2023 daripada Tan Sri Mohd Zuki Ali di Putrajaya.
Intan (kanan) sewaktu menerima Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Intan 2023 daripada Tan Sri Mohd Zuki Ali di Putrajaya.

Boleh puan ceritakan antara pengalaman menarik yang tidak dapat dirasai oleh orang lain?

Tidak dinafikan, mana-mana PTD yang ditempatkan di apa jua kementerian mempunyai pengalaman yang berbeza.

Saya sendiri banyak terlibat dengan keselamatan dan pertahanan negara. Antaranya, saya pernah terlibat dengan program antarabangsa seperti Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA).

Melalui dua pameran itu, saya berpeluang menyaksikan sendiri aset-aset tentera yang bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara.

Malah, saya berpeluang terlibat dalam pengurusan majlis istiadat yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.

Di situ, jelas menunjukkan seorang PTD boleh melibatkan diri dengan pelbagai tugas dan ia sebenarnya adalah satu kemahiran untuk mengasah diri.

Selain kelebihan bekerja dalam sektor awam, apa lagi manfaat lain sebagai PTD?

Kalau bercakap soal elaun dan peruntuk•an itu sebenarnya sama sahaja dengan penjawat awam lain. Tetapi menariknya PTD, mereka berpeluang untuk meneroka banyak perkara mengikut setiap jabatan atau kementerian yang ditempatkan dan menjadikan seseorang pegawai itu versatil.

Saya sekarang di kementerian ini, kebanyakannya adalah lebih kepada bidang ketenteraan dan pertahanan negara.

Mungkin selepas ini saya akan ditempatkan di kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bakal didedahkan dengan perkara dan pengalaman baharu pula melibatkan kesihatan.

Perkara penting untuk bergelar PTD

1) Berminat dengan profesion ini.

2) Bercita-cita tinggi dan berdedikasi

3) Seorang yang dinamik

4) Berminat dengan bidang pentadbiran dan pengurusan

5) Sanggup bekerja di luar negara•

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp