Tiket LA28 sasaran Aaron Tai-Khai Xing
Misi utama beregu badminton remaja lelaki negara
‘Kecil-kecil cili padi’, itulah pepatah sesuai menggambarkan keazaman tinggi dipamerkan beregu badminton lelaki remaja negara sedang meningkat naik Aaron Tai - Kang Khai Xing setiap kali beraksi di gelanggang.
Malah, dos penggalak buat produk Akademi Badminton Malaysia (ABM) berusia 18 tahun ini yang mula digandingkan awal tahun lalu, menjadikan pemain beregu nombor satu negara Aaron Chia - Soh Woi Yik inspirasi semakin menyala selepas berstatus beregu lelaki remaja nombor satu dunia.
Biarpun Aaron Tai-Khai Xing lebih selesa bersederhana, namun semangat kedua-duanya tetap berkobar untuk berdepan ‘gergasi badminton’ apabila sudah meletakkan sasaran lima tahun dalam arena itu ketika ditemui Sinar Bestari di ABM, baru-baru ini.
“Kami telah meletakkan sasaran untuk mara secara merit ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Itu impian tertinggi kami yang saya percaya juga impian setiap atlet sukan lain kerana bukan mudah mendapat peluang beraksi di temasya besar sukan dunia.
“Ini sasaran jangka panjang kami, selain sasaran jangka pendek memperbaiki corak permainan dengan menyertai lebih banyak kejohanan dalam dan luar negara supaya permainan tampil lebih matang bagi meningkatkan kedudukan ranking.“Saya juga berharap persefahaman dan komunikasi dalam gelanggang bersama Khai Xing dapat ditingkatkan bagi mengharungi cabaran musim baharu tahun 2024,” kata Aaron yang minat terhadap sukan itu diinspirasikan ayahnya pada usia tujuh tahun dengan mengikuti kejuaraan tempatan.
Khai Xing yang senada sasaran lima tahun seperti Aaron Tai berkata, minat badminton dibara abangnya pada usia enam tahun mengakui sebagai atlet seseorang itu perlu bijak dalam menyusun jadual harian mereka.
Jelas Khai Xing, paling penting seseorang atlet itu perlu berdisiplin bagi memastikan mereka dapat mengimbangi antara karier sebagai pemain dan tanggungjawab sebagai pelajar.
“Rutin harian saya bermula seawal jam 5.30 pagi, mandi dan bersarapan. Kemudian pada jam 6.30 pagi, saya berlatih di gelanggang sampai 9.30 pagi.
“Kemudian masuk sekolah jam 10 pagi sampai 12 tengah hari sebelum menyambung semula belajar dalam jam 1 hingga 3 petang, sebelum kembali berlatih hingga 5 petang.
“Seseorang atlet itu tidak terlepas berdepan tekanan untuk memenuhi expectation. Namun saya akan berbincang dengan jurulatih bagi mendapatkan pandangan,” katanya yang mengakui selesa digandingkan bersama Aaron Tai.
Anak muda itu juga berharap mengekalkan momentum positif bagi meraih slot ke LA28.
Teguran membina
Mengenai teguran Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yang mahu pemain badminton negara menanam mentaliti juara dalam diri, Khai Xing berkata, teguran itu sesuatu yang perlu diambil sebagai satu cabaran positif.
“Bagi saya, ia satu nasihat ikhlas daripada seorang ayah yang sayang dan mahu anak-anaknya jadi juara seterusnya mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Aaron Tai pula menyifatkan teguran Rexy itu sebagai panduan kepada pemain untuk tidak hanya memperbaiki permainan tetapi juga konsisten memiliki mentaliti menang.
“Saya percaya coach Rexy juga mahu pemain-pemain sentiasa belajar daripada kesilapan setiap masa bagi meningkatkan mutu permainan dalam perlawanan,” katanya.
PROFIL
Nama: Aaron Tai Wei Qin
Nama Gelaran: Aaron Tai
Umur: 18 tahun
Asal: Alor Gajah, Melaka
Anak: Ketiga (empat beradik)
Tinggi: 163 cm
Berat: 60 kilogram
Tangan: Kiri
Nama Jurulatih: Pang Cheah Chang, Poh Chai Boon, Tan Bin Shen, Rexy Mainaky
Pencapaian
1) Februari 2023 - Kejuaraan Antarabangsa Itali (Juara)
2) September 2023 - Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia (Juara)
Nama: Kang Khai Xing
Nama Gelaran: Khai Xing
Umur: 18 tahun
Asal: Kota Baharu, Kelantan
Anak: Keempat (empat beradik)
Tinggi: 175 cm
Berat: 76 kilogram
Tangan: Kanan
Nama Jurulatih: Pang Cheah Chang, Poh Chai Boon, Tan Bin Shen, Rexy Mainaky
Pencapaian
1) Februari 2023 - Kejuaraan Antarabangsa Itali (Juara)
2) September 2023 - Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia (Juara)