Bencana banjir mengundang pelbagai kejadian yang tidak diduga dalam kalangan penduduk setempat. Kredit foto: Bernama
Bencana banjir mengundang pelbagai kejadian yang tidak diduga dalam kalangan penduduk setempat. Kredit foto: Bernama

Waspada bahaya musim banjir - UMT

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Dec 2023 01:54pm

Banjir adalah bencana alam yang terjadi secara tiba-tiba dan memberikan dampak (kesan yang ketara sama ada positif atau negatif) besar pada kemusnahan harta benda dan kehidupan manusia.

Lebih buruk apabila musibah besar itu turut meragut nyawa tanpa mengira perbezaan usia dan gender.

Menurut kenyataan media Universiti Malaysia Terengganu (UMT), beberapa kejadian membabitkan kanak-kanak lemas terjadi susulan berlakunya banjir.

Misalnya, kehilangan kanak-kanak berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya di sebatang sungai Kampung Tok Hakim Padang Midin, Kuala Terengganu, Terengganu beberapa hari lalu.

Selain itu, berlaku kejadian lemas di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang, Kelantan melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat tergelincir dibawa arus deras banjir.

“Kejadian mati lemas seakan sinonim dengan musim banjir dan peristiwa seperti itu perlu dielak dan diambil iktibar oleh masyarakat.

“Ibu bapa khususnya perlu peka akan keberadaan anak-anak dan sentiasa mengawasi aktiviti yang dilakukan mereka ketika waktu banjir,” maklum UMT.

Sementara itu, UMT menjelaskan, kanak-kanak adalah insan yang paling teruja apabila berlakunya banjir.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka, banjir merupakan kejadian alam yang perlu diraikan dengan berpesta, mandi-manda, memancing dan sebagainya tanpa menghiraukan bahaya yang bakal menimpa.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menyebarkan pengetahuan berkaitan musibah banjir serta risiko yang bakal menimpa.

Tanamkan dalam minda anak-anak bahawa peristiwa banjir bukanlah suatu pesta yang perlu diraikan malah ia adalah musibah bencana yang membahayakan dan mampu meragut nyawa.

Dalam pada itu, kepada mereka yang berada di kawasan berisiko atau sering dilanda banjir, UMT menasihatkan agar setiap ketua keluarga mempersiapkan peralatan penting bagi berdepan situasi cemas seperti pelampung keselamatan, jaket keselamatan, lampu suluh, pek makanan ringkas dan lain-lain bagi memastikan ahli keluarga dalam keadaan selamat.

“Beberapa langkah keselamatan perlu diberi perhatian seperti peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, sumber elektrik, simpan nombor talian kecemasan pada telefon bimbit dan lain-lain untuk mengurangkan risiko dan kesan buruk yang mungkin berlaku ketika musim banjir.

“Keselamatan merupakan elemen yang tidak boleh dikompromi dan ia perlu diletakkan keutamaan dalam apa jua situasi malah kesiapsiagaan adalah kunci untuk keselamatan diri, keluarga dan orang-orang yang berada di sekeliling ketika berepan dengan musibah,” ujar UMT lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp