Cikgu Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah menuju ke sekolah. Foto: PDRM
Cikgu Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah menuju ke sekolah. Foto: PDRM

'Ya ALLAH...temukanlah Cikgu Hamdan dengan ahli keluarganya'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Feb 2025 11:18pm

"Semoga ALLAH mudahkan urusan pencarian Cikgu Hamdan dan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat."

"Ya ALLAH permudahkanlah pencarian guru ini. Hanya kepadaMu kami berserah."

Demikian doa dan harapan warga maya susulan kehilangan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah, Segamat, Johor sejak Isnin lalu.

Cikgu Hamdan Hamzah, 46, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah menuju ke sekolah.

Difahamkan, beliau keluar jam 5.15 pagi dengan menunggang motosikal sebelum kehilangannya itu disedari ahli keluarga yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tenang Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, beliau (Cikgu Hamdan) ketika itu menaiki motosikal jenis Yamaha Ego dengan nombor pendaftaran DEL 9426.

"Mangsa berasal dari Felda Kemelah dan bertugas sebagai guru di SK Jementah.

"Laporan diterima pada jam 6.22 petang Rabu lalu dan usaha pencarian telah digiatkan bagi mengesan mangsa.

"Sehingga kini dia masih lagi belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zamry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai guru terbabit berhubung segera dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Shamsuddin Ramli di talian 07-92799222 atau balai berhampiran.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp