2 universiti jalin hubungan strategik, kongsi kepakaran untuk kemajuan bersama
2 universiti jalin hubungan strategik, kongsi kepakaran untuk kemajuan bersama

2 universiti jalin hubungan strategik, kongsi kepakaran untuk kemajuan bersama

Roshlawaty Md Raieh
29 Sep 2022 09:44am
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rangkaian Universiti Awam (UA) dalam negara menerusi kunjungan hormat Naib Canselor, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin bersama delegasinya, baru-baru ini.

Terbaharu, universiti itu telah menjayakan lawatan pengukuhan kerjasama strategik ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan.

Kunjungan delegasi itu disambut Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Ts Dr Arham Abdullah.

Menurut Dr Massila, objektif lawatan adalah untuk bersama mengkaji dan menzahirkan potensi memantapkan lagi keunggulan akademik dan penyelidikan kedua-dua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan agar terus menyerlah di persada global.

“UTeM dan UMK bersetuju untuk melebarkan kerjasama menerusi perancangan projek usahasama dengan mengoptimumkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Usahasama dalam penyelidikan ini akan melibatkan pengusulan pembiayaan geran sepadan bagi memartabatkan penyelidikan berprestasi tinggi antara kedua-dua universiti.

“Gandingan unik antara universiti teknikal dan universiti keusahawanan ini dijangka akan mengangkat nilai tekno-keusahawanan berdaya maju dalam memperhebatkan aktiviti pengkomersialan teknologi dan inovasi tinggi,” ujarnya dan menambah perancangan berkaitan latihan kemahiran insani dalam aspek keusahawanan akan turut dibangunkan menerusi gandingan kepakaran UTeM dan UMK.

Dr Massila (kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Dr Razli (kanan) bersempena kunjungan hormat delegasi UTeM ke UMK.

Sementara itu, pertemuan antara UTeM dan UMK ini turut membincangkan program kerjasama dalam projek istimewa batik antara universiti terbabit.

UTeM juga turut merencana kolaborasi bersama UMK dalam projek Emirates susulan lawatan kerja Dr Massila ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Projek tersebut bertujuan memperluaskan peluang untuk pelajar antarabangsa dari UAE dan Asia Barat menyambung pengajian pasca siswazah serta menjalani latihan industri di Malaysia sekali gus memperkasakan program pengajian tinggi negara yang bertaraf global.

Turut bersama dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar.

Artikel berkaitan 

2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional 

Warga UTeM diseru hayati erti dan tema kemerdekaan ke-65

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok