308633552_466632555498099_3782622803322877751_n (1)
308633552_466632555498099_3782622803322877751_n (1)

3 pensyarah UPM terima pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2022

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
03 Oct 2022 02:42pm

Tiga pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila menerima penganugerahan dan pengiktirafan sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2022 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Pengiktirafan ini diberikan kepada saintis penyelidik yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun sumbangan dalam sektor sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dengan tujuan mengenal pasti dan mengiktiraf saintis penyelidik tempatan yang cemerlang.

Ketiga-tiga pensyarah yang berjaya menerima pengiktirafan itu ialah Profesor Ts Dr Hidayah Arifin dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Profesor Dr Alyani Ismail dari Fakulti Kejuruteraan dan Profesor Dr Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains.

Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan anugerah TRSM 2022 kepada Profesor Ts Dr Hidayah Arifin.

Hidayah berkata, pengiktirafan tersebut adalah bagi mengiktiraf kepakaran beliau dalam bidang Kejuruteraan Bioproses yang menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan penyelidikan sains biologi, pertanian dan alam sekitar.

Tambahnya, penganugerahan itu diharap akan menjadi batu loncatan kepada dirinya untuk menyumbang lebih banyak kepada hala tuju pembangunan penyelidikan di Malaysia.

"Saya bersyukur dan gembira atas pengiktirafan ini dan semoga ia menjadi dorongan dan inspirasi kepada penyelidik dan pelajar untuk terus berusaha dan bergiat dalam bidang penyelidikan STIE.

"Saya berharap agar dapat meningkatkan lagi sumbangan di dalam bidang penyelidikan dan berkongsi ilmu khususnya dengan warga UPM serta rakyat Malaysia mahupun antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Profesor Dr Lim Hong Ngee menerima anugerah TRSM 2022 yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, seramai enam pensyarah UPM layak menjadi Felo ASM 2022 yang terdiri daripada saintis, jurutera, ahli teknologi dan cendekiawan atas sumbangan masing-masing dalam sektor STIE yang memberi impak positif serta diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mereka terdiri daripada Profesor Datin Dr Siti Nor Akmar Abdullah (Fakulti Pertanian), Profesor Dr M Iqbal Saripan (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Ir Dr Aduwati Sali (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad (Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan), Profesor Datuk Dr Jayum anak Jawan (Fakulti Ekologi Manusia) dan Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin (Fakulti Pertanian).

Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan anugerah TRSM 2022 kepada Profesor Dr Alyani Ismail.

Majlis penyampaian Penganugerahan Felo ASM dan Pengiktirafan TRSM 2022 telah disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Adham berkata, MOSTI bersama ASM kini sedang membangunkan Sistem Pengawasan STIE Trend Watch sebagai satu daripada usaha bagi meningkatkan jumlah penyelidik di sektor industri yang ketika ini hanya mempunyai 15.83 peratus penyelidik.

"Menerusi sistem pengawasan data secara ‘real-time’ ini, bakat STEM negara dapat dipantau dan dipertingkatkan bagi memenuhi inisiatif berkaitan.

"Ini dijangka memenuhi sasaran peningkatan 10 hingga 15 peratus jumlah penyelidik dalam sektor industri menjelang 2030.

“Justeru, saya menyeru agar semua pihak bergabung tenaga dan menyokong inisiatif yang diterajui ASM ini," jelas beliau.

Artikel berkaitan

Penyelidik UPM bangunkan teknologi minyak masak terpakai untuk kegunaan antena

“Hindari fitnah” - Ini pesanan utama Naib Canselor UUM pada perhimpunan bulanan

Inovasi Q-CaT Kit tingkatkan kesedaran masyarakat lakukan CPR


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp