Msu
Msu

Perpustakaan IPTA/S yang tercantik di seluruh negara

Rasyidah Zulkifi
27 Jun 2022 03:57pm
A
A
A

Perpustakaan sememangnya dikenali sebagai sebuah tempat atau gedung yang menempatkan pelbagai buku dan bahan bacaan untuk kegunaan ramai terutamanya para pelajar.

Maka tidak hairanlah setiap universiti di seluruh negara pastinya mempunyai perpustakaan yang dibina bagi memberi kemudahan kepada setiap pelajar-pelajarnya mendapatkan maklumat untuk melengkapkan setiap kerja yang diberikan pensyarah.

Tidak dinafikan, ada beberapa universiti di seluruh negara yang menjadi tumpuan baik pelajar mahupun pengunjung luar kerana memiliki perpustakaan yang cantik.

Selalunya perpustakaan ini signifikan kerana ia mempunyai nilai estetika atau melambangkan sesuatu tamadun yang semestinya memberi makna kepada setiap pelawat yang terdiri daripada berbilang bangsa.

Justeru, Sinar Bestari minggu ini menyenaraikan perpustakaan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai pemandangan yang cantik di seluruh negara.

***

Jom kita lihat!

1. Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

PERPUSTAKAAN ini telah ditubuhkan oleh ulama terkenal, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada 1987. Bangunan ini terletak di Bukit Tunku, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dahulunya ia dijadikan sebagai pusat rujukan kepada penyelidik-penyelidik International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dan kini dibuka hanya kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sarjana bebas yang telah mendapat kebenaran untuk mengakses koleksi tersebut. Terdapat 178,000 koleksi buku meliputi falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan juga seni halus seperti paparan artifak, manuskrip serta tekstil yang jarang ditemui.

2. Library and Resource Center (LRC), Management Science and University (MSU)

PERPUSTAKAAN ini terletak dalam MSU di Shah Alam, Selangor. LRC adalah perpustakaan yang menggunakan sistem berkomputer automatik sepenuhnya dan mempunyai koleksi rujukan yang luas untuk pelajar serta kakitangan MSU. Ia digunakan sebagai rujukan untuk membuat kajian termasuk monograf, buku, majalah, jurnal, tesis, laporan projek pelajar, akhbar arus perdana dan soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, kemudahan jurnal dalam talian juga tersedia untuk diakses pengguna. Pelajar boleh membaca, memuat turun, mencetak artikel jurnal atau buku dengan mudah melalui internet.

3. Pusat Sumber Maklumat, Universiti Teknologi Petronas (UTP)

PERPUSTAKAAN ini telah ditubuhkan pada Julai 1997 dan terletak di Seri Iskandar, Perak. Ia dikenali sebagai Information Resource Centre (IRC) dan menempatkan kira-kira 210,000 koleksi termasuk bahan bercetak dan bukan bercetak seperti buku, laporan, audiovisual, multimedia, e-buku- e-jurnal, CD-ROM interaktif dan pangkalan data secara dalam talian. IRC lebih berfokuskan pengetahuan dan sumber yang terkini dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, juga menggunakan sistem Sierra oleh Innovative Interfaces Inc. yang menggalakkan pencarian maklumat yang cekap.

4. Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Perpustakaan ini telah ditubuhkan pada Mei 1995 dan mula dikenali sebagai Perpustakaan Akademi Tentera Malaysia. Kemudian, ia bertukar nama kepada Perpustakaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia seiring dengan penubuhan UPNM pada November 2006. Dahulunya, perpustakaan universiti awam ini terletak di tingkat empat dan lima Bangunan Bestari. Kemudian ia berpindah ke bangunan baharu dan mampu menempatkan 800 orang pada satu-satu masa. Pada 10 Oktober 2010, perpustakaan ini bertukar nama sekali lagi kepada Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim sempena nama mantan Panglima Angkatan Tentera yang kelima.

5. Digital Scholarship & Information Commons (DSIC), Universiti Malaya (UM)

PADA 1959, perpustakaan Universiti Malaya (UM) telah menukar nama kepada Digital Scholarship & Information Commons (DSIC). Perpustakaan ini terletak di Kuala Lumpur. Ia mempunyai lebih daripada satu juta tajuk terkini yang meliputi 88 pangkalan data, 230,536 koleksi digital, 450,319 bahan bukan cetak dan 971,399 bahan bercetak. Selain itu, DSIC turut mempunyai kelas kemahiran maklumat dengan 2,248 pengguna berdaftar, 106 kelas di perpustakaan pusat dan 55 kelas di perpustakaan cawangan. Permintaan bekalan penerbitan daripada pengguna dalaman adalah sebanyak 1,126 artikel dan 299 buku, manakala daripada pengguna luar pula adalah 520 artikel dan 172 buku.

Artikel berkaitan 

IPT disaran hasilkan penyelidikan berimpak kepada masyarakat

Ini 13 senarai IPTA/S yang tawar pengajian doktor pergigian

Naveenkumar, cemerlang 8A SPM, perlukan dana ke IPT

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok