UMS kelas pemulihan
UMS kelas pemulihan

Aktivis UMS bangunkan sekolah untuk murid hidu gam

Rasyidah Zulkifi
02 Jul 2022 01:09pm
A
A
A

Kumpulan aktivis alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan Sekolah Alternatif Semporna untuk memulihkan kanak-kanak daripada tabiat menghidu gam di samping memberikan pengetahuan asas dan mendedahkan kepada mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri.

Kumpulan ini berjaya meraih kejayaan awal apabila kanak-kanak malang itu sanggup datang ke kelas pemulihan dan mengikuti modul yang disediakan.

Secara tidak langsung mereka terhindar daripada terus terjebak dengan gejala sosial dan berpeluang mendapat pendidikan formal walaupun ketiadaan dokumen peribadi. 

Menurut aktivis yang juga guru Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang, 28, pada awal tahun ini kelas pemulihan  bertemakan Pendidikan Alat Perubahan Bangsa diadakan dalam sebuah rumah yang disewa di Kampung Air Hujung Semporna.

Tambahnya, antara faktor yang mendorong mereka menyewa di situ adalah agar kanak-kanak diberi ruang belajar yang selamat dan akhirnya berhenti daripada kegiatan negatif itu.

“Ada dua sebab kanak-kanak menghidu gam iaitu yang pertama kerana miskin dan kelaparan serta yang kedua disebabkan mereka tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

"Jadi kami memasukkan ke dalam modul agar mereka dapat makan dan belajar dan boleh dikatakan 50 peratus kanak-kanak ini sudah mula meninggalkan gam secara perlahan-lahan.

“Bagaimanapun masih ada yang belum meninggalkan gam sepenuhnya, tetapi itu bukan KPI (petunjuk prestasi utama) kami untuk mereka berhenti gam segera,” katanya.

Seorang lagi aktivis sekolah itu, Siti Suhaimah Mustapa pula berkata kelas pemulihan yang  melibatkan belasan pelajar berumur enam hingga 13 tahun dibuka pada setiap hari Rabu.

Menurutnya, kelas tersebut akan diadakan lebih kerap pada bulan-bulan akan datang bergantung kepada kemampuan aktivis.

Artikel berkaitan 

UMS – Petronas Meterai Perjanjian Bidang Teknikal 

Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021 milik Yishal dari UMS 

Heliza dan Hazwani aktif sertai misi kemanusiaan, berdepan pelbagai cabaran sebagai aktivis dan sukarelawan 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok