Golongan muda perlu ditanam beberapa sifat yang penting bagi membolehkan mereka menangani perkembangan teknologi di masa depan. Gambar kecil: Dr Asral
Golongan muda perlu ditanam beberapa sifat yang penting bagi membolehkan mereka menangani perkembangan teknologi di masa depan. Gambar kecil: Dr Asral

Cabaran & persiapan golongan muda ke arah negara berteknologi tinggi

11 Jul 2025 03:21pm

Pada 7 Julai lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ dan STEM in 30 Seconds serentak di semua sekolah di seluruh Malaysia.

Program ini memberi peluang untuk para saintis berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para pelajar tentang kepentingan sains, teknologi dan inovasi.

Penulis merasakan program berkenaan dilaksanakan tepat pada masanya bagi meningkatkan kesedaran para pelajar tentang peri pentingnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada kemajuan sesebuah negara.

Perubahan teknologi yang pantas

Seperti mana yang kita sedia maklum, sains dan teknologi sentiasa berkembang dari zaman ke zaman.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, perubahan dari satu teknologi kepada teknologi yang lain menjadi lebih pantas. Satu contoh yang kita semua sedia maklum adalah telefon.

Pada asalnya, telefon merupakan peranti berwayar yang bersaiz besar dan kurang mudah alih. Selain itu, ia memerlukan ganggang dan butang atau dail yang perlu ditekan.

Namun begitu, pada masa kini, telefon sebegini telah digantikan dengan telefon pintar yang lebih mudah alih dan bersaiz kecil yang boleh disimpan di poket seluar.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, telefon pintar bukan sahaja boleh digunakan untuk perhubungan, tetapi juga ia dapat digunakan untuk melayari internet, mengambil gambar, bermain permainan video dan sebagainya.

Kecanggihan teknologi telah membolehkan telefon pintar melakukan banyak fungsi yang di luar jangkaan generasi awal. Dengan kata lain, telefon telah bertukar kepada komputer di telapak tangan.

Selain daripada telefon, terdapat satu lagi teknologi yang sedang melalui fasa yang sama pada masa ini iaitu teknologi berkaitan kereta atau automotif.

Pada umumnya, kereta digunakan sebagai pengangkutan dari ke lokasi A ke lokasi B.

No Image Caption

Namun begitu, inovasi pada kereta telah berlaku di mana kereta elektrik telah mula diperkenalkan menggantikan enjin pembakaran dalaman.

Inovasi yang berlaku tidak akan terhenti setakat itu. Bahkan teknologi kereta tanpa pemandu juga sedang giat dibangunkan.

Seperti mana telefon pintar, fungsi kereta juga akan berubah menjadi sebuah 'komputer yang bergerak' atau 'komputer bertayar'. 

Sekiranya kereta automatik tanpa pemandu ini digunakan secara meluas di masa hadapan, ia pastinya akan mengubah landskap sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Gelombang teknologi

Teknologi di atas merupakan dua contoh bagaimana pengembangan teknologi boleh mempengaruhi kehidupan kita secara terus.

Dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang, dunia akan menyaksikan kebangkitan beberapa teknologi baharu yang bakal mengubah kehidupan kita di masa hadapan.

Teknologi yang dimaksudkan ini adalah teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Pengkomputeran Kuantum, Teknologi Biologi dan Genom dan Kesalinghubungan Termaju.

Teknologi AI membolehkan mesin diajar melakukan kerja-kerja yang rumit dengan lebih tepat dan konsisten berbanding menggunakan tenaga buruh manusia.

Ini dicapai dengan melatih mesin-mesin ini melalui maklumat-maklumat yang dikumpulkan di data raya.

Dengan jumlah maklumat yang begitu besar, mesin-mesin akan menjadi lebih pintar dalam membuat sesuatu keputusan, kadangkala melangkaui kemampuan manusia.

Selain itu, teknologi Pengkomputeran Kuantum akan membantu manusia melakukan pengiraan yang biasanya mengambil masa beratus tahun untuk disiapkan menggunakan teknologi sedia ada kepada dalam hanya beberapa detik.

Kelebihan ini diperoleh kerana teknologi berkenaan menggunakan ciri istimewa atom seperti keupayaan berada dalam lebih daripada satu keadaan pada satu masa (superposisi) dan saling berkaitan antara satu sama lain walaupun berjauhan (belitan kuantum).

Kelebihan ini dapat digunakan untuk membuat simulasi kimia yang kompleks atau untuk memecahkan kata laluan yang kompleks dalam waktu yang singkat.

Bagi Biologi dan Genom, teknologi ini akan membantu para doktor mencipta ubat yang tepat kepada pesakit sesuai dengan maklumat genetik pesakit.

Dengan pemberian ubat yang dibuat khusus sesuai dengan maklumat genetik pesakit, keberkesanan ubat akan menjadi lebih tinggi berbanding dengan ubat yang dibuat tanpa teknologi ini seperti mana yang dilakukan pada masa ini.

Ini sudah tentu akan membolehkan perkhidmatan kesihatan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit.

Foto: Canva
Foto: Canva

Teknologi Kesalinghubungan Termaju akan membolehkan segala peralatan di sekeliling kita berhubung sesama sendiri dan bertindak balas mengikut keperluan pengguna.

Antara teknologi yang bertanggungjawab merealisasikan teknologi ini adalah internet benda, penderia, robotik dan teknologi komunikasi tanpa wayar.

Teknologi ini membolehkan pelbagai peralatan beroperasi secara automatik seperti mengawal mesin-mesin di kilang, menguruskan peralatan elektrik di rumah, menguruskan ladang dan memantau keselamatan sesebuah bangunan.

Cabaran dan persiapan

Dengan kedatangan gelombang teknologi ini, sudah tentu landskap sosial ekonomi pada waktu itu akan berubah, ini termasuklah peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan.

Sektor-sektor pekerjaan yang boleh di ambil alih oleh mesin AI pasti akan terhapus. Contohnya, dalam sektor peruncitan, tugas jurujual akan digantikan oleh mesin imbasan automatik yang dikawal oleh AI.

Manakala dengan kehadiran kereta automatik, pemandu perkhidmatan e-hailing juga akan turut terjejas.

Dari sudut positif, kemudahan-kemudahan dan infrastruktur baru pula akan wujud bagi membantu merealisasikan teknologi ini.

Peluang-peluang pekerjaan baru juga akan muncul terutamanya bagi kepakaran-kepakaran yang menyokong perlaksanaan perkhidmatan yang menggunakan teknologi terkini.

Oleh itu, adalah amat penting untuk kita menyiapkan golongan muda pada hari ini agar mereka kekal relevan di masa depan.

Peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah amat penting bagi menanam minat, mencungkil bakat dan mengembangkan kebolehan yang berguna di masa depan.

Untuk ini, golongan muda perlu ditanam beberapa sifat yang penting bagi membolehkan mereka menangani perkembangan teknologi di masa depan.

Ini termasuklah sifat ingin tahu dan minat bagi pembelajaran secara berterusan. Mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kecekapan digital dan kemahiran teknologi terkini.

Foto: Canva
Foto: Canva

Sifat kreatif dan semangat ingin membina perlu ditanam pada diri golongan muda agar mereka dapat keluar daripada sifat pasif sebagai pengguna semata-mata.

Selain itu, golongan muda perlu mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya dalam mencari pengalaman baru dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Peluang-peluang sebegini perlu dibuka seluas-luasnya di sekolah agar para pelajar dapat terdedah dengan pelbagai pengalaman yang bakal membuka minda mereka dengan teknologi semasa.

Sebagai penutup, walaupun pada masa ini dunia dihebohkan dengan teknologi kecerdasan buatan atau AI, janganlah kita lupa bahawa ada satu lagi 'AI' yang mungkin ramai daripada kita terlepas pandang.

'AI' yang dimaksudkan adalah Actual Intelligence iaitu pembinaan modal insan yang sebenar.

Segala kemajuan teknologi ini tidak akan bermanfaat sekiranya jiwa manusia itu sendiri tidak dibangunkan dan dipersiapkan untuk menerima gelombang teknologi yang bakal tiba.

Oleh itu, usaha kerajaan dalam memperkenalkan program STI 100³ dan STEM in 30 Seconds ini adalah suatu yang tepat pada masanya dan dapat membantu ke arah pembinaan generasi pelapis yang mapan bagi menerima teknologi ini.

Maklumat penulis:

Ketua Pusat Kecemerlangan Teknologi Mikro Sistem (MiCTEC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Asral Bahari Jambek

INFO

  • Dr Asral berpengalaman lebih 20 tahun dalam akademik dan industri khusus dalam reka bentuk litar VLSI.
  • Memiliki PhD dari University of Edinburgh, United Kingdom.
  • Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Kanan di Pusat Penyelidikan Semikonduktor dan menjalani penempatan industri di Intel Microelectronics dan MIMOS.
  • Kini, Dr Asral ialah Pengerusi IEEE CAS Malaysia Chapter dan berjaya memimpin cawangan tersebut meraih IEEE CASS Global Chapter of the Year Award 2025.
  • Penyelidikan beliau tertumpu pada algoritma dan seni bina tenaga rendah untuk peranti IoT, SoC, pemprosesan isyarat, imej, video dan AI.
  • Beliau dan pasukan telah memperoleh dana penyelidikan sebanyak RM2.49 juta, menyelia 14 pelajar pascasiswazah dan menghasilkan lebih 109 penerbitan ilmiah.

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp