Untitled design (26)
Untitled design (26)

Anjung Tamu ikon pelancongan UUM

Azleenda Sahaludin
22 Dec 2022 09:03am
A
A
A

Setiap universiti di negara ini mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan.

Ia bukan sahaja dapat memberi pendedahan tentang sejarah sesuatu lokasi malah mampu menarik pelancong tempatan atau luar negara menghayati keindahan dan memperoleh pengetahuan mengenai universtiti negara ini.

Pembantu Tadbir Operasi Anjung Tamu, Hasliza Hassan beri penerangan kepada wartawan dan editor Sinar Bestari.

Sinar Bestari tertarik mengunjungi Anjung Tamu atau lebih dikenali sebagai Welcome Centre Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah baru-baru ini.

Bangunan dua tingkat terletak di pintu utama UUM itu tersergam indah dengan menampilkan konsep ciri-ciri spiritual seni bina Islam dan adat Melayu.

Dirasmikan pada 15 Jun 2014 oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak, ia berperanan sebagai penanda aras kepada UUM sebagai universiti pertama mewujudkan bangunan berkonsepkan ciri-ciri berkenaan.

Reka bentuk bangunan tersebut berasaskan gubahan sirih junjung menterjemah simbol penting dalam pelbagai upacara masyarakat Melayu negara ini.

Ia sekali gus menunjukkan rekaan bangunan berkenaan tersimpan pelbagai maksud tersirat yang boleh diteliti para pengunjung.

Melangkah ruang dalaman Anjung Tamu, ia menampilkan konsep susun atur rumah tradisional Melayu seperti serambi di anjung pintu masuk.

Para pengunjung dapat menyaksikan ruang pameran di bahagian tengah dengan memperoleh pelbagai maklumat sepertu sejarah penubuhan, kepimpinan dan tempat-tempat menarik terdapat di universiti tersebut.

Ruang dapur pula berfungsi sebagai pantri manakala loteng di bahagian atas bangunan dijadikan pejabat pengurusan.

Wartawan dan editor Sinar Bestari bergambar kenangan bersama Pengarah Muzium Pengurusan UUM dan Pegawai Unit Komunikasi Korporat UUM, Samsudin Oli Mohamed.

Selain Anjung Tamu, para pengunjung juga boleh mengunjungi Muzium Pengurusan UUM yang mempamerkan sejarah pengurusan dunia dan penubuhan UUM.

Ia merupakan Muzium Pengurusan pertama di negara ini ditubuhkan dengan konsep pengurusan yang mendokumentasikan khazanah ilmu dan sejarah untuk generasi masa depan.

Tiket Muzium Pengurusan dikenakan pada harga RM3 untuk golongan dewasa manakala kanak-kanak dan warga kampus adalah RM1.50.

Waktu lawatan bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang untuk hari Ahad hingga Rabu dan 9 pagi hingga 2.30 petang pada hari Khamis.

Anjung Tamu pula terbuka kepada semua pengunjung dan warga kampus secara percuma bermula seawal 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Artikel berkaitan

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

UUM terima zakat RM10,000, bantu tingkatkan pendidikan

UUM tersenarai 148 universiti terbaik Asia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok