Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima peranti siswa
Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima peranti siswa

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

Roshlawaty Md Raieh
25 Oct 2022 06:22pm
A
A
A

Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang layak menerima PerantiSiswa, meluahkan rasa gembira apabila menerima peranti tersebut, baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Peranti Siswa UUM dan Penyelaras Hab Pengagihan PerantiSiswa Kubang Pasu, Kedah, M Shahadat Ali Nordin, sebanyak 7,600 permohonan PerantiSiswa pelajar UUM telah diagih kepada mereka secara berperingkat.

Pada peringkat pertama, sebanyak 3,538 tablet telah diedarkan manakala selebihnya diagih pada peringkat kedua.

M Shahadat Ali berkata, pemberian gajet itu adalah di bawah program PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang merupakan inisiatif menyediakan peranti kepada mahasiswa institusi pendidikan tinggi (IPT) kelompok keluarga B40 bagi memastikan proses pengajian mereka terus terpelihara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima PerantiSiswa ini. Justeru, saya sangat berharap anda dapat menjaganya sebaik mungkin dan jangan salah guna kemudahan yang diberikan ini,” ujar beliau.

Sementara itu, beberapa pelajar universiti berkenaan berkongsi kegembiraan mereka apabila terpilih menerima PerantiSiswa.

Salah seorang penerima, Durgashini James Selva Kumar, 22, berkata, pemberian PerantiSiswa tersebut begitu bermakna kerana dapat memudahkan proses pencarian maklumat dan menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

Malah katanya lagi, pemberian tablet itu seolah-olah telah memenuhi hasrat mendiang bapa yang tidak sempat membeli gajet kepada dirinya.

“Bapa pernah berjanji untuk membeli gajet namun pembelian itu tertangguh disebabkan sakit kanser sehinggalah bapa meninggal dunia dua bulan lalu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki mendapatkan PerantiSiswa tetap ada walaupun bapa saya telah pergi, terima kasih semua,” ujarnya.

Bagi Tan Ying Hua, 22, pula, keinginan untuk mendapatkan tablet itu sudah lama dan baru sekarang dia berjaya memperolehnya.

“Saya amat memerlukan peranti ini untuk kegunaan dalam pengajian dan akhirnya ada juga rezeki,” tutur Ying Hua.

Muhammad Hilman Zakariya, 22, pula berpandangan, penerimaan PerantiSiswa itu tepat pada masanya kerana kini, banyak tugasan yang diberikan pensyarah perlu disiapkan dalam kadar segera.

Baru-baru ini, sebanyak 50,667 permohonan kemudahan PerantiSiswa membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Zon Utara telah diluluskan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu mewakili 54 peratus daripada 87,222 permohonan pelajar universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.

Daripada jumlah ini, 9,001 permohonan pelajar IPT di Pulau Pinang diluluskan manakala selebihnya iaitu 17,967 dari Perak, 14,913 (Kedah) dan 8,786 (Perlis).

Artikel berkaitan 

“Belajar untuk amanah dan jujur,” - Cikgu Mohd Fadli terkilan pelajar ambil kesempatan jual tablet PerantiSiswa

Kepentingan tablet dalam penggunaan pembelajaran di sekolah

Tahniah Cikgu Sofizah! Kemenangan ini menggembirakan seluruh rakyat Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok