Muhammad Ammar bersyukur mendapat pengkhususan mata pelajaran mengikut minatnya di UPSI
Muhammad Ammar bersyukur mendapat pengkhususan mata pelajaran mengikut minatnya di UPSI

Persiapan pendigitalan aspek penting buat mahasiswa perguruan, kaedah pengajaran konvensional tidak diabaikan

Rasyidah Zulkifi
18 May 2022 12:27pm
A
A
A

Profesion perguruan hari ini dilihat semakin mencabar seiring dengan peredaran zaman tetapi dalam masa yang sama, masih ramai mahasiswa memilih jurusan pendidikan sebagai program pilihan untuk menyambung pengajian di peringkat universiti kerana minat yang mendalam terhadap kerjaya berkenaan.

Bagi mahasiswa yang memilih jurusan ini, pastinya mereka sudah sedia maklum dengan pelbagai isu dan cabaran yang menanti sekali gus berusaha melakukan persiapan untuk memasuki alam kerjaya kelak.

Perkara tersebut turut dirasai mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Pahang, Faten Husna Nadirah Ahmad Ramli, 21.

Baca juga

100 pelajar IPG hulur bantuan kepada mangsa banjir di Selangor

665 pelajar baharu UPSI disaran amal budaya ‘BAIKK’

Biarpun baru berada di Semester Empat dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Faten Husna sudah melakukan persediaan awal sebelum dilantik menjadi guru.

“Di era digital ini saya telah mempersiapkan diri dengan membiasakan penggunaan WhatsApp dan Telegram.

Faten Husna sudah besiap sedia berdepan dengan pendigitalan pendidikan

“Sekarang kita dapat tengok ramai guru menggunakan aplikasi tersebut untuk berhubung dengan ibu bapa murid dan berkongsi bahan pengajaran bersama. Perkara ini sangat membantu saya di era zaman berteknologi hari ini.

“Selain WhatsApp dan Telegram, saya juga sudah teroka aplikasi dalam talian yang lain seperti Quizzes, Kahoot, Padlet dan Wordwall,” ujarnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Tambah Faten Husna, aplikasi tersebut bukan sahaja dapat menarik perhatian murid-murid terhadap teknologi tetapi juga guru-guru turut teruja untuk menerokainya.

Sementara itu, bagi Nur Farhana A. Razak, 21, yang juga penuntut IPG Pahang, Semester Empat bagi pengajian TESL turut melakukan langkah yang sama.

“Sebagai persediaan awal, saya mula meneroka sendiri bahan-bahan pengajaran yang berada di internet.

Bagi Nur Farhana alat bantuan mengajar penting dipilih mengikut tahap kecerdasan murid

“Dengan cara ini saya dapat mengetahui alat bantu mengajar yang sesuai untuk murid-murid pintar, sederhana dan lemah,” katanya lanjut.

Nur Farhana turut menjelaskan, pembelajaran di era digital mampu membantu para guru untuk memastikan murid dapat memahami sesuatu pembelajaran itu sendiri.

 

Kaedah pengajaran secara konvensional tetap tidak diabaikan

Dalam pada itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, Semester Tujuh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Lutfi Lukman Fikri, 25, juga menumpukan persediaan digital sebelum menjadi guru kelak.

“Saya manfaatkan segala bahan yang ada untuk menjadi seorang yang kreatif dan celik teknologi maklumat (IT).

Muhammad Lutfi menyifatkan subjek Geografi tidak sesuai jika diajarkan dalam bentuk digital sepenuhnya

“Sepertimana kita tahu generasi sekarang lebih berpengetahuan dan berkemahiran dalam penggunaan IT berbanding zaman saya.

“Begitupun persediaan untuk mengajar secara bersemuka tidak pernah diabaikan dan guru perlu selangkah lebih ke depan berbanding pelajar,” sambungnya.

Mengulas lanjut, baginya kaedah pembelajaran secara konvensional masih penting walaupun sistem pendidikan sudah semakin maju.

“Bagi saya walaupun ada digital dan teknologi, bila ada ilmu kita kena amalkan.

“Contoh situasi dalam bidang saya yang kalau dipraktikkan secara digital ia kurang berkesan berbanding jika dilaksanakan secara bersemuka.

“Ini kerana digital memerlukan penggunaan internet, jadi perlu dituruti dengan cara konvensional supaya pembelajaran lebih sempurna,” ujarnya.

Persediaan yang sama turut dilakukan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia), Semester Lapan, UPSI, Muhammad Ammar Lajis, 24.

Menurutnya, mengikuti perkembangan semasa di era digital adalah suatu kepentingan pada masa kini.

Tambahan lagi, pengkhususan yang diambil Muhammad Ammar sememangnya terikat dengan teknologi dalam sistem pendidikan negara.

Muhammad Ammar bersyukur mendapat pengkhususan mata pelajaran mengikut minatnya di UPSI

“Bidang pendidikan multimedia menjadi pilihan kerana minat dan ketika di sekolah menengah saya merupakan pelajar aliran seni.

“Jadi hendak kembangkan bakat, saya memilih pengkhususan yang berkaitan kesenian digital seperti multimedia,” tuturnya.

Minatnya tersebut secara tidak langsung mendorongnya untuk terus cakna dengan perubahan semasa berkaitan hal pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Beritahunya lagi, dia mengikuti perkembangan media sosial seperti Facebook dan TikTok sebagai persiapan pembelajaran ke arah digital.

Di samping itu, dia turut mengambil input positif melalui media sosial untuk diselitkan pada sesi PdP secara bersemuka dalam kelas.

Kesimpulannya, aspek pendigitalan dalam pendidikan merupakan persediaan penting yang dilakukan mahasiswa perguruan hari ini.

Bagaimanapun, kaedah pengajaran secara konvensional masih perlu diutamakan kerana sekolah bersemuka telah diadakan secara sepenuhnya tatkala negara beralih ke fasa endemik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok