
Bagaimana menghindari writer’s block?
Fasa penulisan merupakan fasa paling merumitkan dalam kehidupan seorang pelajar terutamanya di peringkat pascasiswazah.
Ramai pelajar mempunyai masalah ingin menulis tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
Sebahagian pelajar sudah mempunyai bahan namun apabila berada di depan komputer riba, segala idea tidak mampu mengalir ke papan kekunci.
Jika idea berjaya dicurahkan sekalipun, wujudnya rasa tidak puas hati dengan kualiti penulisan sendiri.
Gejala ini dipanggil sebagai writer’s block. Masalah ini boleh melanda sesiapa sahaja yang terlibat dalam penulisan termasuklah penulis profesional.
Penulis terkenal Russia, Leo Tolstoy juga dikatakan mengalami gejala ini ketika menyiapkan naskhah agung Anna Karenina.
Begitu juga penulis siri Harry Potter, J.K. Rowling yang pernah menulis satu bab dalam Goblet of Fire berulang kali kerana merasakan tulisan sedia ada tidak sempurna.
Kesemua ini adalah ragam biasa dialami penulis bagi menghasilkan karya berkualiti. Begitu juga dengan pelajar, dalam usaha menerbitkan tesis, artikel atau tugasan berkualiti, kelambatan dan sentiasa ingin menambah baik tulisan merupakan sesuatu yang normal.
Untuk itu, para pelajar seharusnya mencari jalan bagi mengurangkan gejala writer’s block dan Sinar Bestari kongsikan amalan dan strategi, diharapkan dapat membantu pelajar bagi menyiapkan penulisan masing-masing dengan sempurna.
1.Membuat persediaan sebelum menulis
Ramai pelajar gagal menulis dengan baik kerana mengambil mudah proses persediaan sebelum menulis. Persediaan paling penting adalah melalui pembacaan. Pembacaan membolehkan pelajar mengetahui cara penulisan, istilah yang digunakan, gaya bahasa dan sebagainya.
Ketika proses pembacaan, pelajar boleh mencatatkan isi penting untuk digunakan dalam tulisan sendiri. Sebarang kosa kata yang khusus untuk bidang boleh disenaraikan. Kata kunci yang perlu ada boleh dikenal pasti. Kesemua persediaan ini juga dapat membantu pelajar untuk menghadapi proses penilaian seperti viva dan peperiksaan bertulis.
2.Menetapkan masa untuk menulis
Displin adalah kunci dalam menyiapkan sesuatu tulisan. Ramai pelajar tidak menyediakan masa khusus untuk menulis. Sebaliknya, menulis dianggap sebagai suatu tugas yang dilaksanakan hanya apabila ada masa terluang.
Hakikatnya, masa terluang tersebut tidak akan tiba kerana pelajar akan sentiasa dibebani dengan pelbagai tugasan lain. Tambahan lagi dengan kemajuan internet, masa lapang akan banyak dihabiskan dengan melayari hantaran di media sosial.
Masa yang dipilih hendaklah sesuai dengan cara hidup masing-masing. Contohnya, sesetengah pelajar lebih selesa menulis sebelum Subuh berbanding tengah malam. Pilih waktu yang anda rasakan paling segar dan bersemangat untuk menulis.
3.Wujudkan sesi Golden Hours
Antara punca berlakunya writer’s block adalah kerana seorang pelajar terlalu memikirkan kesempurnaan. Apa yang perlu difahami adalah perbezaan antara fasa penulisan dan fasa suntingan.
Fasa penulisan lebih kepada pembentukan idea yang perlu disusuli dengan fasa penyuntingan bagi memperbaiki aspek teknikal seperti susunan ayat dan tatabahasa.
Dalam sesi Golden Hours, suatu masa khas diperuntukkan untuk menulis tanpa mengambil kira tentang struktur ayat, ejaan, tanda baca, rujukan dan sebagainya.
Sesi ini membolehkan idea dalam minda pelajar diterjemahkan ke dalam bentuk ayat, walaupun ayat tersebut tidak sempurna dari segi teknikal.
Contohnya, masa ditetapkan selama 30 minit untuk menulis apa sahaja yang terlintas di minda berkenaan sesuatu topik. Syaratnya, tiada sebarang penyuntingan dibenarkan. Hanya idea kasar sahaja dibiarkan mengalir ke papan kekunci.
Setelah tamat sesi, draf awal penulisan sudah dapat diperolehi walaupun masih dalam keadaan berterabur. Langkah seterusnya proses penyuntingan akan menjadi lebih mudah serta tidak membebankan.
4.Menulis secara sedikit tetapi berulang kali
Sesuatu tulisan dirasakan sukar untuk disiapkan apabila sasaran bilangan patah perkataan diletakkan terlalu tinggi. Sasaran di luar kemampuan boleh merencatkan motivasi pelajar.
Sebaiknya, sesuatu idea penulisan dipecahkan kepada blok-blok kecil. Motivasi pelajar akan meningkat untuk menyiapkan tulisan yang sedikit dalam satu-satu masa berbanding tulisan yang panjang. Maka, langkah awal sebelum menulis adalah dengan membuat rangka serta jadual yang sesuai.
Contohnya, suatu tulisan dengan panjang 1,500 patah perkataan dimulakan dengan bahagian pendahuluan sebanyak 300 patah perkataan. Untuk menyiapkan bahagian pendahuluan, sesi penulisan dibahagikan pula kepada dua sesi 30 minit di mana matlamat setiap sesi cuma 150 patah perkataan.
Akhir kata, writer’s block merupakan suatu permasalahan umum yang melanda sesiapa sahaja yang terlibat dengan dunia penulisan. Gejala ini sukar untuk dielakkan namun langkah-langkah tertentu dapat mengurangkannya.
Sebagai pelajar, gejala ini tidak sepatutnya melemahkan semangat. Sebaliknya, persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan gejala ini mampu diatasi seterusnya membolehkan tugasan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan mencapai tahap kualiti yang sepatutnya.
Oleh: Dr Norshah Aizat Shuaib
Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Artikel berkaitan
3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand
Inovasi sisa buangan kulit telur raih pingat emas tertinggi PECIPTA 2022
‘UniMAP@Global’ inisiatif terkini pasca Covid-19