MMU EMAS1
MMU EMAS1

Atlet MMU banggakan Malaysia dengan 5 emas di Thailand

Norliza Wasilan
19 Aug 2022 10:59am
A
A
A

Atlet Universiti Multimedia Malaysia (MMU) mengharumkan nama negara apabila menggondol lima emas daripada keseluruhan 10 pingat pada ASEAN University Games 2022, Ubon Ratchathani, Thailand.

Bukan itu sahaja malah atlet MMU turut menyumbang empat perak dan satu gangsa sepanjang sukan yang berlangsung mulai 26 Julai hingga 6 Ogos lalu, membabitkan 11 negara.

Pencapaian itu sekali gus membantu pasukan Malaysia menduduki ranking kedua di belakang Thailand dengan jumlah keseluruhan 182 pingat.

Dalam pertandingan tersebut, dua emas dirangkul pelajar Fakulti Pengurusan (FOM), Tan Li Ting menerusi catur kategori wanita individu dan wanita kumpulan, manakala pelajar Fakulti Undang-undang (FOL), Chua Jia Tien meraih emas dalam catur kategori wanita berpasukan dan perak bagi wanita individu.

Selain itu, emas turut diraih pelajar Fakulti Sains Informasi dan Teknologi (FIST), Low Zheng Yong, menerusi renang lelaki 400m gaya bebas dan pelajar Fakulti Perniagaan, Tai Chuan Zhe menerusi badminton (lelaki-pasukan).

Chuan Zhe turut meraih gangsa dalam acara badminton (lelaki-individu).

Sementara itu, tiga pingat gangsa disumbangkan Christy Teh Xing Ti, pelajar FOL dalam acara renang 4x100m (wanita-gaya bebas); pelajar FOM, Muhamad Aliff Mohamad Muhazni menerusi bola sepak dan pelajar FIST, Wee Yong Gan, dalam bola keranjang.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud melahirkan penghargaannya kepada semua atlet atas kejayaan mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa.

“Kejayaan ini adalah bukti kerja keras atlet MMU. Mereka ini banyak dibantu Jabatan Pengalaman dan Gayahidup Pelajar (STyLE), pada masa sama mendapat sokongan padu daripada keluarga, sahabat dan jurulatih,” katanya pada Majlis Pelepasan Kontijen Atlet MMU di Kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini untuk menyertai Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Mengulas lanjut, Mazliham berkata, pencapaian atlet MMU dalam ASEAN University Games 2022 mencerminkan fokus universiti dalam melahirkan graduan bukan saja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum.

“MMU sentiasa memberi penekanan yang tinggi dalam kecemerlangan sukan sejak permulaan universiti ditubuhkan.

“Menerusi hala tuju itu, atlet kami mencapai kejayaan dalam pelbagai pertandingan sukan kebangsaan atau antarabangsa.

“Saya percaya dengan kemudahan, persiapan dan perancangan teliti, MMU akan dapat melahirkan lebih ramai atlet yang mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang sukan pada masa depan,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

Karya filem pendek pelajar MMU bakal ditayang di luar negara

3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand

Pasukan Selangor muncul johan walau ahlinya dari sekolah berbeza, bagaimana mereka lakukan?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok