Pasukan Selangor muncul johan walau ahlinya dari sekolah berbeza, bagaimana mereka lakukan?
Pasukan Selangor muncul johan walau ahlinya dari sekolah berbeza, bagaimana mereka lakukan?

Pasukan Selangor muncul johan walau ahlinya dari sekolah berbeza, bagaimana mereka lakukan?

Roshlawaty Md Raieh
10 Aug 2022 06:24pm
A
A
A

Ramai yang mengandaikan jika ahli pasukan terdiri dari sekolah yang berbeza, mereka sukar membawa pulang sebarang anugerah.

Namun tidak bagi murid-murid dari empat buah sekolah negeri Selangor ini yang menyertai Anugerah Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

Biarpun empat pelajarnya dari sekolah yang berbeza, tetapi mereka tetap berjaya mendapat johan dalam kategori Penilaian NILAM, Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 untuk Sekolah Rendah Bahasa Melayu (Berkumpulan) pada Majlis Anugerah NILAM Kebangsaan di Kompleks Beli-belah AEON Ipoh Klebang, Perak, baru-baru ini.

Murid-murid tersebut iaitu Nurin Nuha Muhamad Asri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ru; Nur Sofea Adriana Mohd Suhaimi (SK Bukit Changgang); Sorfina Batrisyia Sofian (SK Bukit Sentosa) dan Nurul Nadrah Hafiz (SK Bukit Kapar) telah menerima sebuah piala, sijil dan wang tunai RM250 setiap seorang kerana muncul juara dalam penilaian tersebut.

Menurut ketua kumpulan, Nurul Nadrah, kerjasama dan komitmen yang tinggi amat diperlukan sepanjang tempoh pertandingan. Mereka hanya dapat berlatih dan berbincang di alam maya sahaja tanpa dapat bersua muka.

Ujarnya, banyak pengorbanan yang terpaksa ahli-ahli lakukan bagi merangkul kejayaan tersebut.

“Nak menang bukan mudah. Perlu ada kekuatan dan semangat juang yang tinggi. Jika tidak kuat, sudah pasti sukar untuk muncul johan,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru pembimbing iaitu Cikgu Siti Hajar Mat Said serta ramai lagi kerana tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar kepada ahli kumpulan sepanjang menyertai pertandingan tersebut.

Sementara itu, Nur Sofea Adriana pula memberitahu, kejayaan pasukan dalam penilaian itu adalah sebagai bukti yang mereka mampu berjaya sama seperti orang lain.

“Kejayaan ini bukan untuk kami berempat sahaja tetapi ia harus diraikan dengan semua pihak yang sentiasa menyokong dalam apa jua keadaan.

“Untuk sekolah saya pula, ingin saya dedikasikan kejayaan ini khas buat guru-guru NILAM dan Guru Besar, Mohamad Ali Alimin kerana sentiasa memberi tunjuk ajar. Terima kasih cikgu,” katanya.

Dalam pertandingan itu, Nur Arisya Qaisara Mohamad Mustafa dari SK Padang Mengkuang, Marang, Terengganu telah dinobatkan sebagai johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu.

Manakala, johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Menengah diberikan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan, Siti Fatimah Hoo Muhammad Aripin Hoo.

Artikel berkaitan

Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!

Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok