Untitled (600 × 400px)
Untitled (600 × 400px)

Bank Rakyat prihatin nasib pelajar kurang berkemampuan

Azleenda Sahaludin
17 Jan 2023 01:54pm
A
A
A

Para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sudah pasti memerlukan wang apabila ingin menyambung pelajaran ke peringat pendidikan tinggi.

Menyedari dan prihatin dengan nasib anak-anak daripada golongan B40, Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukan bantuan sebanyak RM100,000 kepada 100 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, dalam usaha meringankan beban kewangan serta urusan pendaftaran ke universiti.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan golongan pelajar terbabit termasuk daripada mereka yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, menetap di kawasan pedalaman atau golongan miskin bandar.

“Tahun lalu, YBR berjaya membantu 2,916 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dengan memberi bantuan awal pendidikan kepada mereka.

“Bantuan berjumlah RM2.27 juta tersebut melibatkan 19 IPT terkemuka di tanah air serta 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya selepas majlis penyampaian bantuan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai bantuan projek perpustakaan digital yang telah dilaksanakan hasil kerjasama antara pihak YBR dan UUM.

“Sebanyak RM350,000 disalurkan setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital untuk projek perpustakaan digital yang dikenali sebagai Serambi Ilmu Rakyat (SIR).

“Selain memupuk semangat cintakan ilmu dengan membaca, projek perpustakaan digital ini juga diharap dapat membantu pelajar memperoleh bahan-bahan bacaan berilmiah yang berkualiti tinggi di hujung jari mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman berkata, UUM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengenal pasti dan menyenaraikan nama-nama pelajar yang akan menerima bantuan berjumlah RM1,000 seorang.

Wakil YBR bersama wakil UUM

Beliau mengucapkan terima kasih kepada YBR serta pihak-pihak lain yang terlibat kerana memilih dan prihatin terhadap kebajikan pelajar-pelajar di universiti tersebut.

Artikel berkaitan

UUM jalin kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah tangani isu keciciran pelajar

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

YBR taja RM300,000 untuk program pendidikan di Selangor


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok