kuptmkl5
kuptmkl5

Gunting rambut dan servis motor percuma, usaha semarakkan Hari Malaysia

Norliza Wasilan
18 Sep 2022 01:44pm
A
A
A

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia, 60 warga Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTMKL) berganding bahu melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama komuniti Apartmen Bustan, Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya senaman, gotong royong, melukis mural Jalur Gemilang, servis motosikal, gunting rambut, mencuci kereta, memasak bubur lambuk, mengedar soya serta tau fu fa secara percuma kepada penduduk.

Selain itu, sambutan Hari Malaysia turut dimeriahkan dengan acara sukaneka, pertandingan mewarna, peragaan pakaian bertemakan kemerdekaan, agihan bakul makanan serta nyanyian lagu patriotik.

 

Menurut Naib Canselor KUPTMKL, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, pihaknya berbesar hati apabila pengurusan Apartmen Bustan diketuai Tan Chong Jin serta penghuni sudi hadir untuk memeriahkan program.

Ujarnya, program seumpama itu diharap dapat mengeratkan semangat kejiranan antara penghuni apartmen itu dengan KUPTMKL.

“Program yang dilaksanakan mencapai objektifnya untuk menyantuni komuniti Apartmen Bustan yang merupakan kejiranan asrama siswi KUPTMKL.

“CSR kali ini sangat berlainan, program padat dengan pengisian aktiviti penerapan semangat cintakan tanah air dan berpaksikan elemen kekeluargaan tanpa memilih bangsa, agama dan kepercayaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena program CSR Community Service KUPTMKL Bersama Komuniti Apartmen Bustan, Taman Shamelin Perkasa Sempena Sambutan Hari Malaysia ke-59, KUPTMKL 2022, Jumaat lalu.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik, Profesor Madya Ts Dr Zahrah Yahya; Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar & Gaya Hidup Kampus, Dr Syamsul Fozy Osman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Azahari Jamaluddin; Pengarah Jabatan Perancangan Korporat, Noor Azhani Yaacob dan Ketua Penolong Pendaftar Kewangan, Che Norhaslina Harun.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahim berkata, program berkenaan adalah landasan tepat untuk mengukuhkan usaha kemenjadian warga KUPTMKL.

 

Sementara itu, Chong Jin berkata, pihaknya cukup gembira dengan penganjuran program Hari Malaysia di kawasan berkenaan.

“Program ini adalah kali pertama diadakan sejak penubuhan apartmen pada tahun 80-an dan kami merasa cukup dihargai seperti satu keluarga.

“Ramai penduduk mengambil peluang menggunting rambut, servis motor, cuci kereta dan gotong royong.

“Malah, kanak-kanak turut gembira dan tidak ketinggalan untuk menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program ini berlangsung,” ujarnya.

Artkel berkaitan

UiTM Dengkil meriah sambut Hari Malaysia secara maya

Cipta kejayaan berterusan, Dr Norazah buat rakyat Malaysia kagum dan bangga

5 pelajar galas tugas penting wakil Malaysia ke FIRST Global Challenge 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok