Cipta kejayaan berterusan, Dr Norazah buat rakyat Malaysia kagum dan bangga
Cipta kejayaan berterusan, Dr Norazah buat rakyat Malaysia kagum dan bangga

Cipta kejayaan berterusan, Dr Norazah buat rakyat Malaysia kagum dan bangga

Roshlawaty Md Raieh
13 Sep 2022 01:13pm
A
A
A

Nama Profesor Ts Dr Norazah Mohd Suki dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pastinya tidak asing lagi dalam kalangan ahli akademik dalam negara.

Ini kerana, banyak kejayaan dan anugerah yang telah dicapai oleh beliau sehinggakan ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah amalan yang diamalkan Dr Norazah ini.

Yang terbaharu, Dr Norazah baru sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Wanita (Malaysia’s Women Leaders) dalam majlis The Golden Globe Tigers Awards (Asia Edition).

Anugerah Kepimpinan Wanita secara tahunan anjuran World Women Leadership Congress (WWLC) itu meraikan pencapaian terbaik dan mengiktiraf pemimpin wanita di serata pelosok dunia yang dicerminkan melalui inovasi dan inisiatif yang berbeza dalam organisasi swasta dan awam.

Dr Norazah melahirkan rasa syukur apabila menjadi satu-satunya profesor yang menerima Anugerah Kepimpinan Wanita tersebut.

“Pengiktirafan ini cukup besar buat saya kerana ia diberikan bagi menghargai peranan mendalam yang dimainkan oleh para wanita sebagai pemimpin dan pembuat keputusan dalam membentuk masa depan serantau dan negara,” ujarnya.

Jelasnya lagi, anugerah tersebut telah menzahirkan kualiti kepimpinan dalam mempamerkan usaha yang aktif, kreatif dan integratif bagi mencapai keputusan terbaik dalam membantu rancangan pembangunan organisasi dan negara.

“Pengiktirafan ini telah meletakkan UUM pada peta global kecemerlangan yang membawa kebanggaan kepada universiti dan negara.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada semua sekali gus membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika tekun bekerja dalam setiap tugas yang diamanahkan,” katanya yang merupakan Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM.

Sebelum ini, Dr Norazah tersenarai dalam ‘World’s Top 2% Scientists’ oleh Stanford University, Amerika Syarikat.

Beliau telah diiktiraf sebanyak tiga kali dalam Stanford University mengikut bidang perniagaan, pengurusan dan sub-bidang pemasaran, selain mendapat pengiktirafan di bawah senarai ‘Career-long World’s Top 2% Scientists’.

Selain itu, beliau juga turut meraih pelbagai anugerah terbilang termasuk Malaysia’s Research Star Award 2018 (MRSA Award); Highly Commended Paper in the 2015 and the 2017 Emerald Literati Network Awards for Excellence dan IGI Global Seventh Annual Awards Excellence in Research Journal.

Dr Norazah juga telah menerbitkan lebih 300 kertas kerja dalam jurnal yang dirujuk, bab dalam buku, buku dan kertas persidangan yang memperincikan aktiviti penyelidikannya selain mengetuai dan mengambil bahagian dalam beberapa projek penyelidikan.

Dalam masa sama, beliau menjadi penyelidik teratas apabila mencatat 28 SCOPUS h-indeks iaitu yang tertinggi di UUM dengan 2,169 total sitasi di peringkat global.

Kekuatan penerbitan Dr Norazah ini telah membantu UUM meningkatkan reputasi antarabangsanya. Justeru tidak hairanlah WWLC memilihnya sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Wanita di atas segala usaha dan dedikasi yang dilakukan.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan membawa nama UUM ke pentas dunia sekali gus menjadi sumber motivasi kepada ahli akademik yang lain.

“Saya bersyukur dan gembira dengan pencapaian Dr Norazah ini. Pengiktirafan di peringkat global tersebut telah memberi peluang kepada UUM untuk meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

Tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia, Dr Norazah kini jadi inspirasi ahli akademik lain

Profesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah khas

Murid Tahun 5 bawa pulang 8 anugerah! Keputusan yang mengejutkan ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok