305842768_554769666447345_8466619313684029944_n
305842768_554769666447345_8466619313684029944_n

5 pelajar galas tugas penting wakil Malaysia ke FIRST Global Challenge 2022

Adlan Farhan Azwan
15 Sep 2022 11:23am
A
A
A

Lima pelajar dari Terengganu dan Johor bakal mewakili negara untuk bertanding di Swiss Robot Olympics, FIRST Global Challenge 2022 di Geneva, Switzerland pada 13 hingga 16 Oktober depan.

Mereka terdiri daripada Nur Alia Sofiah Zainordin, 16, selaku kapten pasukan; Lidya Marlynda Mahd Shah, 15, sebagai duta pasukan; Muhammad Ammar Akhmal Abd Wa'fa, 15, sebagai pengaturcara; Khayra Zokree, 15, sebagai pengarang media dan Nor Khairiah Omar, 15 sebagai ketua dokumentasi.

Setiap peserta mempunyai peranan serta tanggungjawab masing masing dalam First Global Challenge 2022.

Kejohanan peringkat antarabangsa ini merupakan pertandingan robotik anjuran FIRST atau 'For Inspiration and Recognition of Science and Technology' untuk remaja berusia 15 hingga 17 tahun dengan mengetengahkan cabaran terbesar dihadapi planet sambil menggalakkan generasi masa depan membina kemahiran Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diperlukan.

Menurut Pengarah Program FIRST Global Malaysia, Ilylia Kamaruzaman, beliau berbangga kerana pasukan negara tidak berputus asa meneruskan usaha mengumpul dana, mewujudkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada golongan muda walaupun melalui pelbagai cabaran selepas pandemik.

“Kami percaya mereka akan membanggakan negara dan pertambahan bilangan wakil wanita dalam pasukan ini akan menggalakkan lebih ramai pelajar perempuan menyertai program robotik yang kini masih didominasi pelajar lelaki.

“Platform yang kami cipta ini diharap dapat melahirkan bukan sahaja belia yang berkemahiran tetapi sebagai persediaan untuk tenaga kerja.

“Kami mahu mewujudkan belia yang seimbang yang tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut membangunkan kemahiran insaniah,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ilylia berkata, membangunkan belia berkemahiran bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan tetapi masyarakat keseluruhannya.

“Inisiatif ini akan membawa pelbagai kumpulan anak muda bersama-sama untuk menyelesaikan sebarang misi diberikan.

“Ia juga penting untuk ditekankan peluang yang tercipta tidak mengira jantina tetapi harapan agar golongan muda dapat menyumbangkan kekuatan dan kemahiran mereka kepada kemajuan negara,” jelasnya.

Sejak pertama kali dianjurkan pada 2017, pertandingan itu yang ditubuhkan dengan kerjasama Robotics Learning (M) Sdn Bhd telah memberi inspirasi kepada jutaan penduduk dunia dengan pelajar, mentor, rakan sekolah dan ahli komuniti dari 196 negara menggunakan STEM dalam isu seperti akses air bersih, menambah baik infrastruktur tenaga, membersihkan lautan, memerangi pandemik dan banyak lagi.

Bagi edisi kali ini, Robotics Learning telah memilih pelajar berdasarkan prestasi keseluruhan mereka yang bersaing dalam pelbagai pertandingan robotik dianjurkan tahun lalu termasuklah Cabaran Robotik Antarabangsa yang disertai lebih 20 negara dan FIRST Global Challenge Malaysia.

Artikel berkaitan

Minat robotik sejak sekolah rendah, dorong siswazah gondol 2 anugerah dalam dan luar negara

Pendidikan STEM perlu dimulakan di peringkat awal lagi - Dr Murnizam

Malaysia - Jepun jalin kerjasama, kukuh bidang Sains, Teknologi dan Inovasi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok