Dr Abdul Rahim (kiri) bertukar nota kolaboratif dengan Dr Azmi pada majlis Menandatangani Nota
Dr Abdul Rahim (kiri) bertukar nota kolaboratif dengan Dr Azmi pada majlis Menandatangani Nota

KUPTM dan GMI meterai nota kolaboratif

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
08 Aug 2022 09:49am

KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) dan German Malaysian Institute (GMI) baru-baru ini menandatangani nota kolaboratif bagi menjalin kerjasama membentuk rangka program akademik yang akan memberi manfaat kepada institusi berkenaan.

Inisiatif itu diambil bagi membolehkan kedua-dua belah pihak merangka program akademik ke arah ‘3+2’, bermaksud lepasan diploma GMI boleh melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda selama dua tahun di KUPTM.

Naib Canselor KUPTM, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, menerusi pendekatan itu, ia secara tidak langsung membantu lepasan GMI menamatkan program Ijazah Sarjana Muda dengan lebih singkat.

Dr Abdul Rahim (kiri) bertukar nota kolaboratif dengan Dr Azmi pada majlis Menandatangani Nota Kolaboratif antara KUPTM dan GMI di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Ini bermaksud, penuntut GMI yang mengambil masa sehingga tiga tahun untuk tamat diploma hanya memerlukan dua tahun sahaja di KUPTM untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Tempoh pengajian mereka (peringkat Ijazah Sarjana Muda) akan menjadi lebih singkat, sebelum ini mereka mengambil masa lebih dari dua tahun untuk habis belajar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Kolaboratif Kolej Universiti Poly-Tech MARA dan German Malaysian Institute di sini.

Majlis berkenaan ditandatangani oleh Dr Abdul Rahim mewakili KUPTM, manakala GMI diwakili Pengarah Urusannya, Profesor Ir Dr Azmi Hassan dengan disaksikan Timbalan Presiden Akademik Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech Mara Sdn Bhd, Azmi Abdul Aziz.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik KUPTM, Profesor MadyaTs Dr Zahrah Yahya dan Timbalan Pengarah Urusan Akademik dan Pengurusan GMI, Ts Dr Mohamad Farid Daud.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahim menjelaskan, perbincangan antara kedua-dua belah pihak telah diadakan untuk menambah baik kandungan silibus dalam memaksimumkan jumlah pindahan kredit membabitkan penuntut GMI yang akan menuntut di KUPTM.

“Program yang terlibat ialah Diploma Network Security dan Ijazah Sarjana Muda IT in Cyber Security. Setakat ini, kami sudah menerima beberapa pelajar GMI yang menyambung pengajian dalam bidang berkenaan dan mereka menunjukkan pretasi akademik yang cukup cemerlang.

“Selain itu, antara manfaat lain daripada kerjasama ini ialah ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pensyarah kerana boleh berkongsi fasiliti dan melakukan penyelidikan, menganjurkan seminar serta kolokium,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Dr Azmi pula, berikutan perkembangan semasa yang semakin berubah, pihaknya menerima maklum balas daripada ibu bapa yang mahukan anak mereka melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sebaik tamat diploma.

Ujarnya, mereka berpandangan pengajian peringkat diploma pada masa ini tidak mencukupi memandangkan persaingan dalam pasaran kerja semakin mencabar dan memerlukan kelulusan lebih tinggi.

“Malah, daripada maklumat yang kita terima setakat ini, 55 peratus lepasan GMI memilih untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sebaik habis belajar.

“Oleh itu, kami berpandangan kerjasama seperti ini dapat menggalakkan penuntut untuk meneruskan pengajian ke program ijazah dan menamatkannya dalam tempoh lebih cepat,” katanya.

Artikel berkaitan 

UMT, IMEC meterai MoU 

UMT, UTAR meterai kerjasama pintar 

UMK dan UiTM meterai MoA program dwi ijazah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp