
MSU turun padang bantu Aceh
25 sukarelawan jayakan misi kemanusiaan selama lima hari
Prihatin nasib komuniti terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh November lalu, Management and Science University (MSU) menerusi Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Indonesia.
Bencana Sumatera 2025 itu memberi kesan kepada tiga provinsi iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, menyaksikan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal serta sumber pendapatan.
Bagi meringankan beban mangsa, program MSUCares for Humanity: Aceh Chapter dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan segera khususnya di Aceh melalui agihan barangan keperluan asas.
Misi yang bermula 29 Januari hingga 3 Februari itu melibatkan 25 sukarelawan terdiri dalam kalangan kakitangan MSU, Majlis Perwakilan Pelajar serta wakil MSUCares.
Penglibatan pelbagai pihak ini mencerminkan semangat 2G (Giving and Grateful) yang menjadi teras universiti berkenaan.

Majlis perasmian program disempurnakan Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid di Ma’had Daarut Tahfizh Al-Ikhlas pada 31 Januari lalu.
Selain agihan bantuan, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan bagi menyokong usaha pemulihan pascabanjir.
Antaranya saringan perubatan asas dan aktiviti kesedaran kesihatan, sesi pemulihan trauma untuk kanak-kanak serta inisiatif memperkukuh kerjasama serantau dan tanggungjawab sosial.
Beberapa lokasi yang turut terlibat dalam program ini ialah Lhokseumawe, Langkahan, Langsa, Tamiang dan Medan.
Kesemua kawasan ini merupakan lokasi strategik sepanjang laluan timur Sumatera menghubungkan wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Misi ini juga mengukuhkan komitmen MSU terhadap pemulihan lestari berasaskan pendidikan.
Pendekatan itu memberi penekanan sokongan berterusan dan pemerkasaan jangka panjang agar komuniti terjejas bukan sahaja bangkit semula, malah lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa depan.
Ringkasan AI
- Prihatin nasib komuniti terjejas, MSU hulur bantuan ke Indonesia akibat bencana banjir dan tanah runtuh
- Bencana Sumatera 2025 kesan kepada tiga provinsi melibatkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan
- Program MSUCares for Humanity: Aceh Chapter tumpu bantuan kemanusiaan segera melalui agihan barangan keperluan asas
- Misi bantuan dari 29 Januari hingga 3 Februari dengan libatkan 25 sukarelawan dari MSU
- Selain agihan bantuan, dilaksanakan aktiviti pemulihan pascabanjir seperti saringan perubatan, pemulihan trauma, dan kesedaran kesihatan