DSC_2319
DSC_2319

Lepasan UPM tingkat kemahiran pertanian menerusi Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur

Norliza Wasilan
19 Aug 2022 02:22pm
A
A
A

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agrobank jalin kerjasama bagi melahirkan lebih ramai usahawan pertanian terutama dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi merealisasikan usaha itu, Agrobank dan UPM melancarkan Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur baru-baru ini, selaras aspirasi kerajaan mentransformasi industri pertanian dan agro makanan negara.

Menurut Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon, ia adalah program berstruktur dirangka khas Agrobank Centre of Excellence (ACE) dengan kerjasama Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada siswazah mengenai keusahawanan bidang akuakultur.

“Selain ilmu teknikal yang diajar UPM, peserta program turut didedahkan dengan ilmu perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran.

“Peserta juga akan dipantau dan dibimbing selama enam bulan oleh jurulatih perniagaan yang bertauliah dari ACE bagi memastikan mereka mampu menguruskan perniagaan dan bersaing di pasaran sebenar,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, peserta turut didedahkan dengan pengetahuan pengurusan risiko dan kaedah penyelesaian menerusi perkongsian daripada usahawan yang telah berjaya.

“Keunikan program ini bukan saja terletak pada struktur dan pengisiannya, malah ia sedikit

berbeza daripada program inkubator keusahawanan yang lain.

“Alhamdullilah, setakat ini saya dimaklumkan oleh pegawai terbabit dalam program ini bahawa tiga daripada 10 peserta yang mengambil bahagian telah memulakan perniagaan.

“Mereka ini terbabit dalam pembenihan ikan air tawar meskipun program ini masih lagi sedang berjalan,” katanya.

Selain itu, mengulas mengenai peranan mereka sebagai sebuah institusi kewangan, Aminuddin memberitahu ia adalah untuk menggalakkan lebih ramai pembabitan belia dalam pertanian dan pihaknya sentiasa menyediakan bantuan yang diperlukan.

“Kami di Agrobank menyediakan pelbagai infrastruktur pembiayaan dan dana khusus kepada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih komersial atau memenuhi pasaran eksport.

“Selain itu, kami turut menyediakan dana pembiayaan khas untuk belia yang dikenali Y.E.S (Youth Entrepreneur Scheme) atau Skim Pembiayaan Agropreneur Muda yang menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah dua peratus setahun bagi tempoh pembiayaan selama tujuh tahun,” ujarnya.

Artikel berrkaitan

Mahasiswa UPM terima Agro-Kit daripada Agro Bank

Kembara Dakwah Bermotor anjuran UPM bantu pelajar asnaf di Pahang

UPM galak mahasiswa sertai kelas asas selam skuba


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok