DSC_0294
DSC_0294

Kembara Dakwah Bermotor anjuran UPM bantu pelajar asnaf di Pahang

Adlan Farhan Azwan
16 Aug 2022 09:59am
A
A
A

Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM dan Putra Bakti UPM telah mengadakan Kembara Dakwah Bermotor bagi menghulurkan bantuan dan menyebarkan dakwah kepada pelajar asnaf UPM di sekitar daerah Rompin dan Temerloh, Pahang.

Kira-kira 20 pelajar asnaf UPM di sekitar daerah tersebut menerima sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan harian manakala 40 penduduk asnaf menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada UPM.

Menurut Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman, sumbangan bantuan yang diberikan kepada pelajar asnaf UPM ini akan meningkatkan motivasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian dengan bersungguh-sungguh.

“Semoga pelajar asnaf UPM yang menerima bantuan ini mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya selain menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

“Pihak WAZAN akan terus membantu pelajar-pelajar UPM yang kurang berkemampuan agar semua dapat menamatkan pengajian dan meneruskan kehidupan bagi membantu keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Antara sumbangan yang diberikan kepada pelajar asnaf berbentuk barangan keperluan harian.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia, Nor Amirah Solehah Ahmad Baijuri memberitahu, bantuan yang diberikan oleh UPM itu mendorong dirinya untuk meneruskan pengajian dan mencapai cita-cita.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dan saya akan jadikan bantuan ini sebagai pembakar semangat untuk terus belajar kerana arwah ibu berpesan, dengan ilmu, ia mampu mengubah taraf hidup kita,” tambahnya.

Para peserta yang menyertai Kembara Dakwah Bermotor UPM.

Dalam pada itu, Mazkina Che Omar, 46, ibu kepada Nurul Aini Saharudin, pelajar Bacelor Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, yang turut menerima bantuan meluahkan rasa syukur terhadap keprihatinan UPM dalam menjaga kebajikan pelajarnya yang kurang berkemampuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UPM kerana kalau mereka tidak turun padang mesti tidak akan tahu keadaan kami yang susah dan tinggal di pedalaman serta mempunyai masalah rangkaian internet.

“Nurul Aini merupakan anak sulung, jadi saya harap dia dapat memberi contoh yang terbaik dan menyuntik semangat kepada adik-adiknya yang lain.

“Saya memang selalu mengingatkan anak-anak saya untuk terus belajar kerana ilmu itu sangat penting,” jelasnya.

Program ini yang bermula pada 16 sehingga 18 Julai lalu juga telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti forum, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan gotong-royong di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin sebagai salah satu usaha mencapai aspirasi universiti.

Artikel berkaitan

20 pelajar asnaf terharu terima sumbangan

Program WOW babitkan penyertaan 400 pelajar, sasar golongan B40 dan Orang Asli sebagai peserta

Sukarelawan MSU tunai tanggungjawab, hulur 200 kotak bantuan untuk B40


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok