Skuba
Skuba

UPM galak mahasiswa sertai kelas asas selam skuba

Rasyidah Zulkifi
02 Aug 2022 07:20am
A
A
A

Berbekalkan pengalaman sebagau seorang penyelam skuba selama 15 tahun, ia menguatkan lagi hasrat Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Samir Muhazzab Amin, 46, untuk menubuhkan aktiviti rekreasi lasak ini di pusat pengajian tinggi awam tersebut.

Menurutnya, tidak banyak institusi pengajian tinggi (IPT) baik awam mahupun swasta di dalam negara menawarkan kursus sebegitu kepada para pelajar sebagai aktiviti kokurikulum berkredit.

Justeru, Jurulatih Selam Skuba, Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) ini mengambil kesempatan untuk berbuat demikian sekali gus ingin mencungkil bakat baharu dalam kalangan mahasiswa UPM.

“Sebagai pensyarah yang sering melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan bersama mahasiswa UPM, saya bertanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dengan mereka.

Ahli Kelab Selam Skuba UPM turut diberikan pendedahan di laut.

“Saya telah membentangkan kertas cadangan dan mendapat kelulusan sekitar tahun 2015 untuk mewujudkan selam skuba agar menjadi sebahagian aktiviti di pusat sukan.

“Di sini kami telah mewujudkan dua peranan aktiviti ini iaitu selam skuba sebagai sebuah kelab dan satu lagi kokurikulum berkredit yang dibuka kepada semua mahasiswa,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tambah beliau, kokurikulum berkredit ini sudah ditawarkan sejak tujuh tahun lalu kepada mahasiswa dengan satu jam kredit, sementara kelab selam skuba pula ditubuhkan enam tahun lalu.

Dan sepanjang penubuhan kokurikulum berkredit ini, Dr Samir tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan dan disifatkan seperti ‘pisang goreng panas’.

“Dalam tempoh satu jam sebaik sahaja pendaftaran kursus dibuka, kuota telahpun dipenuhi.

“Pengambilan ahli terhad kepada 30 orang sahaja untuk setiap semester bersamaan dengan dua kali setahun atau 60 pelajar kesemuanya.

“Kami mengehadkan kuota pengambilan kerana di UPM kakitangan tidak mencukupi dan buat masa ini hanya saya seorang sahaja jurulatih selam skuba yang bertauliah,” jelasnya.

Di samping itu, ulas beliau lagi, fasiliti selam skuba di pusat sukan juga terhad untuk kegunaan 30 pelajar sahaja.

“Untuk kokurikulum berkredit ini, kami tidak mendapat dana atau peruntukan daripada mana-mana pihak.

“Jadi, kami menggunakan peralatan yang dibeli oleh pusat sukan UPM secara ‘guna sama’ dan bergilir-gilir mengikut keperluan.

“Sekiranya terdapat orang lain yang ingin menggunakan peralatan tersebut untuk kegunaan UPM, maka dia boleh berbuat demikian,” katanya.

**

INFO

  • Mahasiswa sering didedahkan mengenai apa yang ada di darat tetapi tidak di dalam laut dan aktiviti-aktiviti dalam air yang boleh dilakukan.
  • Mereka yang menceburi riadah selam skuba berpeluang untuk melihat perairan negara yang sangat cantik.
  • Banyak aktiviti yang berkaitan ekosistem dapat dipelajari dalam sukatan kokurikulum berkredit ini.
  • Gunakan kemahiran selam skuba sebagai satu profesion untuk menjana pendapatan hingga mencecah gaji lima angka bersamaan RM10,000 dan ke atas.
  • Perbezaan antara scuba diving dan free diving

    Scuba diving bermaksud menyelam dengan tangki oksigen, manakala free diving pula menyelam dengan menahan nafas.Scuba diver boleh bernafas dalam tempoh lebih kurang 40 minit menggunakan tangki oksigen yang dibawa berenang sekali.Free diver boleh bernafas hanya dua hingga ke tiga minit ketika berada di dalam laut dan perlu naik serta turun berulang kali untuk mendapatkan bekalan oksigen yang secukupnya supaya tidak pitam.

  • Syarat untuk menjadi seorang penyelam skuba

    Pelajar perlu mempunyai asas berenang, tidak takut pada air dan berasa selesa ketika berada di dalam air.

  • Lesen selam scuba

    Bagi setiap pengambilan, lebih kurang 70 peratus pelajar berminat untuk mengambil lesen selam skuba.Peluang ini ditawarkan kepada mereka yang berminat, namun tiada paksaan untuk mengambil lesen sukan ekstrem ini.Ini kerana harga pasaran lebih mahal berbanding apa yang ditawarkan di pusat sukan UPM.Subsidi lesen selam skuba sehingga 40 peratus diberikan kepada mahasiswa, jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    Harga untuk mendapatkan lesen selam skuba di luar adalah RM1,800 tetapi untuk pelajar kokurikulum berkredit hanya RM1,300 sahaja.

    Mereka akan mendapat subsidi tersebut selepas menduduki kursus asas selam skuba selama 14 minggu yang diajar di UPM.

Artikel berkaitan

UPM sasar jimat RM141 juta bil elektrik guna sistem solar PV

Pelajar UPM jalankan keusahawanan fertigasi cili

UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok